Tuesday 11 September 2012

SINGAPURA PERLU JELAS ISU DISKRIMINASI




Oleh : MOHD FARHAN DARWIS

KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menuntut kerajaan Singapura menjelaskan tindakan mereka menghalang rakyat Malaysia dari Sabah dan Sarawak yang berusia di bawah 35 tahun untuk bekerja di republik berkenaan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, Penasihat Ekonomi Selangor itu menuntut jiran di selatan tanah air itu untuk mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tindakan mereka  yang menurutnya adalah merupakan satu tindakan “diskriminasi” terhadap remaja dari Malaysia timur berkenaan.

“Kerajaan Singapura melalui Menteri Sumber Manusianya perlu memberikan kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut,” kata Anwar.

“Jika laporan itu benar, Singapura bersalah kerana mendiskriminasi rakyat Malaysia berdasarkan demografi, yang mana dalam hal ini melibatkan remaja dari Sabah dan Sarawak.”

Jelas Anwar lagi, setiap rakyat Malaysia adalah sama tanpa mengira lokasi demografi mereka dan tindakan Singapura menolak tenaga kerja dari Malaysia itu umpama merosakkan masa hadapan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan keluarga mereka.

“Visa perlu dikeluarkan berdasarkan kemahiran, pengalaman, dan kesesuaian kerja, bukan berdasarkan demografi.

“Setiap rakyat Malaysia yang bekerja di republik berkenaan menyumbang kepada pembangunan ekonomi Singapura,” katanya.

Anwar turut menambah, dengan menyisihkan sebahagian daripada mereka atas tindakan yang bukan dilakukan mereka, tetapi berdasarkan demografi adalah tindakan yang tidak adil.

“Saya mendesak respon segera berhubung isu itu agar ribuan isi rumah rakyat Malaysia dan keluarga mereka dapat diselesaikan segera,” tegasnya lagi.

Awal hari ini, memetik laporan akhbar The Star, kerajaan Singapura telah mengeluarkan polisi menaikkan syarat umur dari 18 tahun kepada 35 tahun bagi rakyat  pribumi Malaysia di Sabah dan Sarawak yang berhasrat untuk mendapatkan pekerjaan disana.

Laporan The Star menyebut, perubahan polisi tersebut berpunca ekoran peningkatan kes jenayah dan pergaduhan kebelakangan ini yang melibatkan rakyat pribumi Sabah dan Sarawak di  republik tersebut.

Insiden ini termasuklah melibatkan kes pembunuhan di sekitar kawasan Ang Mo Kio Avenue, Kallang, dan juga Geylang.

Meskpun tiada pekeliling rasmi dikeluarkan oleh Singapura berhubung perkara itu, Presiden Gagasan Dayak Iban Bersatu Malaysia (GAIU) Sai Malaka menegaskan bahawa permohonan  oleh rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak di bawah keperluan syarat umur telah ditolak dengan sewenang-wenangnya tanpa sebab.

“Saya merasakan bahawa langkah ini sangat melampau dan langkah diskriminasi terhadap rakyat prbumi Sabah dan Sarawak,” kata Sai yang dipetikdalam laporan itu.

“Nasib baik kerajaan [Malaysia] membangunkan saluran minyak dan gas di Pengerang dekat sini. Projek itu kini menyediakan kerja kosong yang amat diperlukan bagi pekerja-pekerja yang  sedang menganggur.”

Namun, pihak Singapura menafikan langkah tersebut mensasarkan rakyat Malaysia di timur, tetapi bertujuan untuk mengurangkan pertumbuhan tenaga kerja asing yang  semakin tidak menentu.

“Kami akan terus meluluskan atau memperbaharui pas pekerja dari Sabah dan Sarawak sekiranya mereka layak dan sesuai bekerja di Singapura,” kata wakil Kementerian Tenaga Manusia  (MOM) Singapura  yang dipetik dalam akhbar itu.

Peningkatan tenaga kerja asing menjadi isu yang diperkatakan dalam kempen pilihanraya umum Singapura menurut Pesuruhanjaya Tinggi Malaysia disana, dan mungkin ia adalah antara faktor  peraturan tersebut diperketatkan baru-baru ini.

Dasar baru tersebut juga berkemungkinan akan memberi kesukaran kepada rakyat pribumi Sabah dan Sarawak yang melanggar undang-undang disana untuk mendapatkan pekerjaan buruh  tidak mahir di republik kepulauan tersebut.

No comments:

Post a Comment