Thursday 6 September 2012

SISTEM PENGURUSAN BENCANA SERANTAU





Oleh : SHANTY DEVI AYADURAI

VLADIVOSTOK : Malaysia menggesa supaya sistem amaran awal yang lebih berkesan diwujudkan dengan memberi tumpuan kepada semua bentuk bencana alam untuk menyelaraskan langkah pencegahan dan pengurusan bencana di rantau Asia Pasifik.

Ketika membuat gesaan itu pada sesi pleno Mesyuarat Menteri-Menteri (AMM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC 2012) di sini Rabu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata dengan menggabungkan pengetahuan teknikal dan kepakaran daripada anggota ekonomi, sistem amaran awal seperti itu akan memperkukuhkan kesiapsiagaan semasa kecemasan dan ketahanan terhadap bencana secara bersama di rantau ini.

Anggota ekonomi boleh menggunakan mekanisme sedia ada seperti Perjanjian mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan Asean (AADMER) yang turut mengandungi maklumat tentang kepakaran khusus yang dimiliki setiap anggota ekonomi untuk membina sebuah komuniti yang berdaya tahan terhadap bencana.

Mekanisme ini juga boleh menyumbang kepada penerimaan amalan terbaik yang tepat pada masanya, selain memanfaatkan kepakaran yang dimiliki setiap anggota ekonomi dan mengelak ekonomi daripada perlu melakukan perkara yang sama berulang kali, katanya ketika membentangkan pandangan Malaysia berhubung pengukuhan kesiapsiagaan dan ketahanan semasa kecemasan dalam wilayah APEC.

Tumpuan harus terarah kepada penduduk yang menderita akibat malapetaka dan oleh itu perkumpulan berkenaan perlu mencari jalan untuk mengurangkan penderitaan mereka dengan pantas dan berkesan, menurut kenyataan Kementerian Luar yang memetik beliau dalam mesyuarat berkenaan.

Anifah berkata Malaysia telahpun menyumbang ke arah kesiapsiagaan dan ketahanan semasa kecemasan dengan mewujudkan Depot Tindak Balas Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRD) di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, di Subang, Kuala Lumpur.
Berdasarkan keunikan pengalaman yang dihadapi akibat daripada bencana dan perbezaan pendekatan yang diguna pakai oleh anggota ekonomi dalam menangani situasi cemas, ada banyak yang boleh dikongsi dan diraih daripada satu sama lain, katanya.

"Kita seharusnya mengambil faedah daripada setiap kepakaran dan sumber sedia ada bagi memastikan penghantaran bantuan yang diperlukan kepada penduduk yang terjejas dilakukan secara pantas serta berkesan," katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment