Monday 24 September 2012

SOROS MAHU KAWAL POLITIK MALAYSIA





Oleh : LISA J. ARIFFIN

KUALA LUMPUR : Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendakwa spekulator mata wang, George Soros cuba merampas kuasa politik daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan melantik perdana menteri (PM) pilihannya di Malaysia.

Kenyataan mantan perdana menteri itu dibuat semasa diminta menjawab mengenai isu beberapa NGO tempatan yang mendapat perhatian baru-baru ini selepas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menggesa Pendaftar Pertubuhan menyiasat SUARAM, yang menerima dana daripada Soros.

"Bagaimana ia boleh menjadi satu perkara yang baik? Dia mahu mengawal politik kita," kata Dr Mahathir (gambar) kepada pemberita selepas merasmikan perundingan pakar peringkat tinggi mengenai Islam dan kesihatan wanita di sini pada hari ini.

"Dia mahu memilih orangnya sendiri menjadi perdana menteri," katanya.

Dr Mahathir bagaimanapun, tidak menamakan nama perdana menteri yang ingin diletak Soros.

Dr Mahathir pada awal tahun ini mendakwa AS dan Israel berkonspirasi untuk menjejaskan perubahan rejim di Malaysia melalui "kerajaan boneka" yang akan diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam blognya, mantan perdana menteri itu yang juga merupakan musuh lama Anwar mendakwa kerajaan AS sangat berharap untuk melihat Malaysia menjalin hubungan diplomasi dengan Israel dibawah pemerintahan ketua pembangkang serta menjauhkan diri daripada membantu negara Palestin.

Dr Mahathir kemudian menambah pentadbiran sekarang yang diterajui oleh BN tidak disukai oleh Amerika Syarikat kerana mempunyai hubungan rapat dengan China dan Rusia, tidak mengiktiraf Israel, sering mengkritik dasar AS dan tidak menyokong sentimen terhadap Iran dan negara-negara lain.

Awal bulan ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kementerian itu sedang menyiasat sama ada badan NGO, SUARAM mendapat pembiayaan daripada spekulator mata wang George Soros.

Ismail Sabri berkata terdapat satu dua berpangkalan di Amerika Syarikat menyumbang sejumlah besar dana kepada Suaram.

Beliau juga telah meminta Bank Negara untuk menyiasat perkara itu di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

No comments:

Post a Comment