Thursday 6 September 2012

SPA LAKUKAN TAPISAN KENAL PASTI IJAZAH PALSU



LIMBANG: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan melakukan tapisan keselamatan bersama pejabat keselamatan bagi mengenal pasti ijazah dan diploma palsu yang digunakan pemohon semasa memohon jawatan kosong.

Pengerusinya, Tan Sri Mahmood Adam berkata, tapisan keselamatan dilakukan bagi memastikan tiada elemen-elemen meragukan melibatkan ijazah dan diploma palsu pemohon.

Jelasnya, dua tapisan dijalankan kepada pemohon iaitu pada peringkat permohonan dan temu duga supaya ijazah dan diploma yang digunakan adalah tulen.

“Kita akan buat tapisan untuk mengenal pasti yang tulen mahupun palsu.

“Ketika ini, SPA tidak berdepan dengan pemohon yang memiliki kelayakan palsu,” katanya ketika mengulas me-ngenai sindiket pemalsuan ijazah baru-baru ini.

Hadir sama ialah Residen Limbang Maria Hasman.

Menurut Mahmood lagi, kebanyakan pemohon yang gagal dalam sesi temu duga adalah mereka yang tidak membuat persiapan rapi sebelum menghadiri proses temu duga.

“Malah daripada pemerhatian SPA mendapati kebanyakan pemohon luar bandar lebih bersedia menghadapi temu duga berbanding calon bandar.

“Mereka (calon bandar) mengambil sikap tidak kisah semasa menghadiri temu duga yang akhirnya menyebabkan mereka gagal, ujarnya.

Jelasnya pemohon perlu tahu cara untuk menjenamakan diri selain bijak bercakap semasa proses temu duga diadakan.

Katanya SPA juga tidak menetapkan kuota bagi etnik Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia bagi pengambilan pelbagai jawatan kerana ia bergantung kepada kekosongan jawatan yang ditawarkan.

“Kita sentiasa bersedia untuk mengambil penjawat awam baharu kerana ia bergantung kepada kekosongan jawatan pada masa akan datang,” ujarnya.

Jelas Mahmood lagi, sebanyak 65,000 permohonan bagi jawatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) diterima SPA setiap tahun diikuti jawatan perkeranian bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding jawatan lain.

Menyentuh mengenai sesi interaksi yang dijalankan daripada kementerian, jabatan dan pentadbiran negeri, katanya pelbagai transformasi dijalankan SPA sehingga kini.

“Sesi interaksi dijalankan bagi berkongsi pandangan untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di antara orang awam dan perkhidmatan awam sendiri.

“Beberapa siri pertemuan dengan media Cina dan India telah diadakan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan reaksi positif bagi memenuhi gagasan 1Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, SPA turut mengadakan beberapa siri ‘engagement’ dengan kementerian dan jabatan yang merupakan perkongsian pintar bagi menyelesaikan masalah untuk penambahbaikan kelemahan dan urusan-urusan yang dijalankan SPA.

SPA tambahnya, turut menjalankan urusan temu duga pada waktu malam dan hujung minggu bagi memudahkan calon-calon yang tidak dapat menghadiri temu duga pada waktu biasa.

“Kemudahan secara online juga akan dikaji secara keseluruhannya. Pada masa ini pilihan jawatan dalam Borang SPA8i telah dibesarkan bagi membolehkan calon memohon sehingga 15 jawatan,” katanya.

Tambah Mahmood, SPA telah memberi kepercayaan penuh kepada kementerian dan jabatan untuk menjadi panel temu duga.

“Sehingga kini, sebanyak 12 urusan temu duga telah dikendalikan sepenuhnya oleh kementerian dan jabatan yang melibatkan 1,610 calon.

“Manakala nisbah calon untuk temu duga akan dibesarkan bagi membolehkan lebih ramai calon berpeluang untuk menghadiri temu duga,” katanya. (UB)

No comments:

Post a Comment