Wednesday 12 September 2012

TAMAN WARISAN ATAU KANDANG BABI?





Saudara Pengarang,

WALAUPUN bersempadanan dengan Palm Oil Industrial Cluster (POIC), namun Taman Warisan yang dibina Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) terpinggir daripada segala kemudahan asas dan tidak pernah diselenggara sejak dibina; sinonim dengan Kandang Babi.

Saya tidak mungkin menyalahkan ibu bapa saya kerana membeli rumah di Taman Perumahan LPPB ini kerana itu sahajalah kemampuan mereka untuk mendapatkan rumah tempat kami adik beradik berlindung.

Tetapi saya menyalahkan ADUN Tungku, Datuk Mohd Suhaili Said dan Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Kalbi yang berlidah biawak dan tidak pernah menepati setiap janji yang mereka zahirkan.

Keadaan Taman Warisan ini tidak ubah seperti kandang babi kerana parit dan pembetung tidak pernah diselenggarakan; sampah sarap jarang dikutip; bekalan air terpaksa dicuri menggunakan pam; capaian broadband sinonim dengan kelambatan siput babi;  talian telefon awam tidak ada dan faktor keselamatan langsung tidak terjaga.

Lebih teruk lagi, Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) tidak langsung mempunyai kawalan pemilik rumah mengubah suaikan rumah mereka macam istana sedangkan Taman Warisan adalah perumahan murah untuk orang  kurang berkemampuan; bukan tempat menunjuk lagak mengubah suai rumah tanpa kebenaran MDLD sehingga keadaannya tidak terkawal; sama statusnya dengan setinggan yang bertaburan di Bandar Pilaks, Lahad Datu.

Saya lihat sebuah rumah (gambar di atas) di Taman Warisan 1, Lorong 2, telah diubah suai secara keterlaluan sehingga merobohkan pondok bas yang dibina Ahli Parlimen Silam dan menceroboh tanah simpan jalan. Bukankah ini akan mengggangu pembangunan dan menyusahkan orang awam?

Saya tidak faham kenapa ibu bapa saya perlu membayar cukai pintu dan pelbagai kadaran yang lain jika Taman Warisan lebih daif daripada Kandang Babi di Sungai Nipah, Negeri Sembilan yang pernah diserang Virus JE; apatah lagi sebelum ini Taman Perumahan ini adalah 'Rumah Penyembelihan Babi MDLD' yang hanya dipindahkan sekitar 1995 akibat bantahan penduduk.

Sebagai pemilih yang telah berdaftar di Silam, tetapi bekerja di Semenanjung Malaysia, saya fikir tidak ada gunanya saya kembali mengundi di Lahad Datu (Parlimen Silam) jika ibu bapa saya dilayan seperti 'Babi' oleh Kerajaan BN.

Salam Hormat,

MOHD ZAIN A.HASSAN

No comments:

Post a Comment