Saturday 8 September 2012

TEMUI ADUN WADAH TERBAIK BERKOMUNIKASI




DENGAR..... Pairin mendengar aduan rakyat dalam program Hari Bertemu Pelanggan Adun Tambunan.

Oleh : ROZIE JUMAT

TAMBUNAN : Program Hari Bertemu Pelanggan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur, Tan Sri Joseph Paitin Kitingan disambut baik oleh rakyat di kawasan Tambunan sebagai satu pendekatan yang membolehkan mereka menemui wakil rakyat dan meluahkan masalah-masalah yang dihadapi secara bersemuka.

Saina Anggang, 67 dari Kampung Tikolod berkata, beliau datang menemui Wakil Rakyat itu untuk mengetahui dengan jelas cara-cara memohon Program Bantuan Rumah melalui Hari Bertemu Pelanggan yang dianjurkan oleh Adun, Pejabat Wakil Rakyat, Pejabat Daerah serta agensi-agensi kerajaan pada hari tersebut yang bermula dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang.

“Saya tidak ada rumah dan saya juga bercerai. Saya tidak mampu membina rumah,” kata Saina. Meskipun beliau telah menemui agensi-agensi lain yang berkaitan dan diberikan  penjelasan, beliau tetap mahu  bertemu Wakil Rakyat dan mendekati pemimpin berjiwa rakyat yang disenangi di kawasan pedalaman.

Bagi Sual Sakat, 67 dari Apin Apin, Keningau, program seumpama ini perlu diteruskan memandangkan keberkesanan program tersebut dalam menyelesaikan masalah dan aduan yang dikemukakan.

Menurutnya, seperti program-program yang lepas, aduan yang dikemukakan terdapat perkembangan yang positif serta diselesaikan oleh pihak yang berkaitan dengan adanya campurtangan Wakil Rakyat.

Kata Sual, program Hari Bertemu Pelanggan itu rakyat dapat memahami peranan dan tanggungjawab kerajaan.

“Saya sangat bertuah kerana dapat menemui beliau (Pairin) , saya tidak sangka dapat bersemuka kerana terdapat ramai orang yang mahu berjumpa dengan dia,” kata Sual.

Seorang warga emas, Laminah Dombual, 78, dari Kampung Rompon, memberitahu beliau datang ke program itu untuk mengucapkan terima kasih kepada Pairin kerana rumah beliau telah diperbaiki melalui peruntukan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Tetapi, saya mahu juga memohon untuk mendapatkan bantuan rumah (PPRT), rumah yang ada dihuni oleh anak-anak dan kurang selesa,” ujar Laminah, diantara pengunjung yang datang ke Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan di Pisompuruan Square Perkarangan Tamu Tambunan di sini pada Khamis.

Wakil Rakyat, Pairin telah meluangkan masa dari jam 9.00 pagi sehingga ke jam 3.00 petang, mendengar masalah serta aduan-aduan yang dikemukakan oleh pemimpin masyarakat setempat dan rakyat.

Aduan yang dikemukakan termasuklah mengenai projek-projek kampung, masalah tanah, bantuan kebajikan, bantuan rumah, e-kasih serta berkaitan dengan kemudahan bantuan meningkatkan hasil pertanian serta perikanan.

Pemaju Mukim dari Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Tambunan, Edwin Danis berkata, program itu telah diadakan sejak tahun 2006, satu kaedah untuk membantu rakyat bersemuka dengan jabatan-jabatan atau agensi kerajaan yang mengambil bahagian.

Hadir sama dalam program itu ialah Penolong Pegawai Daerah, Robert Stedy dan Pemimpin Kemajuan Rakyat Tambunan, Laiwon Dalus.

No comments:

Post a Comment