Thursday 6 September 2012

TRAGEDI BOT KARAM DI PENSIANGAN




Oleh :  JOHAN AZIZ.

NABAWAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dilapor dihanyutkan arus deras  dalam tragedi bot karam di Sungai Logonggon dalam daerah kecil Pagalungan di sini pada Khamis telah ditemui oleh pasukan pencari di Kampung Bentol, berhampiran dengan Mansalung, Kalimantan Indonesia pada pagi Ahad.

Seorang penduduk kampung, Anthony Amin memberitahu kanak-kanak itu ditemui oleh pasukan pencari diketuai oleh Ketua Kampung Tingkalor Anturi pada jam 9.47 pagi.

Menurut beliau, kanak-kanak itu bersama ibunya serta saudara mara lain dalam perjalanan ke Kampung Inakak dengan menaiki sebuah bot injin sangkut menyusuri Sungai Logonggon untuk menghadiri perkahwinan ipar mereka dari Indonesia.

“Mereka bertolak dari Kampung Salung pada jam 6.30 petang  dan disebabkan perjalanan dalam keadaan yang gelap, bot terbabit merempuh batu besar di kawasan itu,” katanya.

Anthony berkata, dia sendiri telah dihubungi oleh ahli-ahli rombongan yang menjalankan operasi mencari berhubung penemuan kanak-kanak itu.

Menurutnya, Sungai Logonggon mengalir terus ke negara jiran Indonesia menuju ke Mansalung dalam daerah Lumbis, Kalimantan.

Beliau memberitahu mayat kanak-kanak itu sudah dibawa balik ke Kampung Salung pada hari ia ditemui.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superitendan Robert Salisip @ David ketika dihubungi di sini kelmarin, mengesahkan penemuan mayat kanak-kanak itu.

Pada kejadian Khamis jam 8.20 malam itu, seorang ibu berusia 37 tahun mati lemas dan anak lelakinya berusia lima tahun hilang dibawa arus deras Sungai Logonggon selepas bot yang mereka  naiki dengan lima orang lain merempuh batu besar.

Mayat wanita (ibu) yang dikenali sebagai Pangayou Linaas ditemui penduduk kampung lebih kurang lapan kilometer dari tempat kejadian sementara anaknya (kanak-kanak) yang hilang dibawa arus deras ditemui di Kampung Bentol, berhampiran Mansalung, Kalimantan Indonesia pada Ahad.

Lima yang lain bersama-sama dalam bot itu berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai itu.

Operasi mencari dan menyelamat dijalankan bersama oleh anggota Polis,  Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan dibantu oleh pasukan Polis Marin dan penduduk kampung sepanjang sungai itu pada Sabtu sehingga mayat kanak-kanak itu ditemui pada pagi Ahad. (UB)

No comments:

Post a Comment