Friday 21 September 2012

TUKAR BENDERA PERBUATAN TERKUTUK





Oleh : MOHD FARHAN DARWIS

KUALA LUMPUR : Perbuatan mahu menukar bendera Jalur Gemilang kepada Sang Saka Malaya adalah perbuatan terkutuk, kerana bendera merupakan ikon melambangkan maruah negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Presiden Umno itu menegaskan, perbuatan itu umpama menghina negara dan majoriti rakyat negara ini tidak boleh bertolak ansur dengan tindakan sedemikian.

“Ubah bendera ni memang perbuatan terkutuk. Bendera ni maruah negara, kita tidak boleh main-mainkan, perlekehkan,” tegasnya dan menambah “bendera melambangkan kesucian dan kedaulatan negara kita.”

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin selepas sidang media di Ibu Pejabat Umno turut berkata siasatan terhadap insiden berkenaan telah selesai dan terpulang kepada Peguam Negara untuk mendakwa, dan mahkamah untuk menghukum.

“Menteri Dalam Negeri tidak akan mengulas perkara itu ... kami serahkan kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan dan mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya merujuk kepada insiden bendera dan memijak gambar pemimpin negara itu.

Mohd Zairi Shafa’ai dan Muhammad Nasir Abu Bakar, kedua-duanya berusia 24, mencetuskan kontroversi ketika sambutan malam ambang Merdeka apabila mengibarkan Sang Saka Malaya, bendera yang menjadi model bendera Singapuran dan Indonesia termasuk Umno.

Kedua-dua remaja itu ditahan awal bulan ini dan disiasat di bawah Seksyen 9(1) Akta Hasutan 1948, yang mana bakal dipinda tidak lama lagi oleh pentadbiran Najib.

Najib sebelum ini turut menuduh pembangkang bertanggungjawab untuk menukar bendera sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya dalam pilihan raya akan datang.

“Semua mereka nak ubah... mereka juga ingin menukar bendera kita. Banyak perkara mereka nak lakukan, tapi tak boleh lakukan, kerana kuasa Putrajaya dalam tangan kita,” dakwa Najib lagi.

Tambah perdana menteri itu lagi, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara itu.

“Kita serah kepada pihak berkuasa untuk menyiasat. Ini perbuatan tidak boleh diterima rakyat Malaysia sebahagian ramai begitu rasa cinta kepada negara, dan ramai yang sanggup mempertahankan maruah negara,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment