Friday 21 September 2012

U-CUSTOMS GANTI SKM





LAWAT......Khazali melawat gerai-gerai yang terdapat di Majlis Malam Mesra Aidilfitri 2012 Peringkat Negeri Sabah di Tawau.

Oleh : AMIR ANUAR

TAWAU : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dijangka membuat tranformasi sistem operasinya menjelang Januari 2013 dengan penukaran Sistem Maklumat Kastam (SKM) kepada sistem baru U-Customs.

Menurut Ketua Pengarah JKDM, Dato’ Khazali Ahmad, tranformasi sistem operasi jabatan itu dilakukan seiring dengan matlamat untuk mencapai status perkhidmatan bertaraf dunia menjelang tahun 2015.

“Kita akan mempersiapkan para pegawai dan petugas-petugas JKDM dengan sistem baru ini melalui program-program latihan dan kursus berkaitan untuk memastikannya mampu diaplikasikan oleh semua pihak termasuk orang awam,” katanya.

Khazali berkata, kesemua pegawai dan petugas-petugas JKDM perlu memahirkan diri menggunakan U-Customs yang disifatkannya ‘mesra pengguna’ ke arah menambah-baik mutu perkhidmatan jabatan terbabit.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa jabatannya kini sudah hampir bersedia untuk mengaplikasikan sistem percukaian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di negara ini dan hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada pihak kerajaan pusat.

“Buat masa ini, kita sedang memperhalusi GST dan selaku jabatan yang diberi mandat untuk mentadbir pelaksanaan GST, JKDM perlu membuat persiapan awal termasuk dari segi tenaga kerja dan aplikasi sistem,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas berakhirnya Majlis Malam Mesra Aidilfitri 2012 Peringkat Negeri Sabah sempena lawatan kerjanya ke JKDM Tawau di sini malam kelmarin.

“Kita tidak perlu menunggu pengumuman baru mahu bersedia, jadi atau tidak (GST), jabatan tetap bersedia sejak awal kerana kita tidak mahu berada dalam keadaan tidak bersedia apabila kerajaan memutuskan pelaksanaannya,” katanya.

Menyentuh perkara berasingan pula, beliau memberikan amaran kepada pihak-pihak tertentu agar tidak terlibat dalam penyeludupan bahan-bahan terlarang seperti pengedaran dadah, bahan asid dan penggubahan wang haram.

Tambahnya, JKDM tidak akan berkompromi dalam hal itu serta sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasa lain demi memastikan tugasan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara efisien dan efektif.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur Salleh, Pengarah JKDM Sabah, Dr Janatan Binbang @ Janathan Kandok, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan serta agensi penguatkuasa. (UB)


No comments:

Post a Comment