Wednesday 26 September 2012

UNIT ANAK NEGERI TANGANI PELBAGAI ISU TANAH




KOTA KINABALU : Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah mewujudkan unit khas yang dikenali Unit Anak Negeri bertujuan memberi kesedaran dan khidmat nasihat yang tepat mengenai isu tanah di negeri ini.

Pengarahnya Datuk Osman Jamal berkata unit itu akan dilengkap dengan kenderaan yang akan diguna untuk menjangkau ke kawasan luar bandar.

Beliau berkata petugas di unit itu akan memberi khidmat nasihat dalam semua aspek tanah termasuk undang-undang tanah selain mengumpul maklumat jika ada tanah kerajaan yang diduduki oleh orang yang tidak diketahui haknya.

"Inilah sebab unit ini ditubuhkan dan jika semuanya berjalan lancar kami akan lancar kenderaan bergerak pada bulan November ini.

"Buat permulaan, kami akan dapat tiga kenderaan jenis Fortuna dan 20 pacuan empat roda (double cabin) yang akan digunakan untuk memberi perkhidmatan di daerah Togod, Beluran, Keningau dan Kota Marudu yang mempunyai ramai penduduk anak negeri dan banyak isu tanah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis dialog bersama media peringkat negeri Sabah di sini, pada Selasa. (Bernama)

No comments:

Post a Comment