Wednesday 12 September 2012

WANG HARAM, GLOBAL BIOFUTURE TERLIBAT?





Oleh : MD IZWAN

PETALING JAYA : Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli hari ini mendedahkan bukti terbaru pemindahan wang haram melibatkan keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil kepada Global Biofuture Pte Ltd yang didakwa mengendalikan urusan pembelian dan jualan pukal (trading) lembu.

Dalam sidang media di ibu pejabat PKR, Rafizi mengemukakan satu transaksi Global Biofuture sebuah syarikat broker berpusat di Singapura yang dikawal oleh keluarga Shahrizat yang disyaki melakukan pemindahan wang bertentangan dengan fungsi dan tujuan Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Menerusi bukti dokumen e-mel, cek dan invois yang didedahkan, Rafizi mendakwa wang NFC telah dipindahkan secara haram kepada Global Biofuture melalui National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd (NMLC), yang mana ia diluluskan oleh anak Shahrizat, Wan Shahinur Izran Mohamed Salleh selaku Ketua Pegawai Eksekutif.

Rafizi juga mempersoalkan tujuan pemindahan wang berjumlah US$990,402 (RM3,065,000) kepada Global Biofuture, yang didakwanya langsung tiada kena mengena dengan NMLC atau NFC.

Bagi mengesahkan lagi dakwaan tersebut, Rafizi mengemukakan satu invois bernombor V14/10 dari South East Asian Livestock Services Pty Ltd (SEALS), yang berpusat di Darwin, kepada Global Biofuture bagi menguatkan buktinya berlaku pemindahan tersebut.

Berdasarkan bukti-bukti tersebut, Rafizi menggesa Bank Negara dan pihak berkuasa mengambil tindakan dan menyiasat keluarga Shahrizat atas kemungkinan melanggar Akta Anti Pengubahan Wang Haram (AMLA).

“Yang membayar invoisnya adalah NMLC tetapi bukannya Global Biofuture. Perkara ini terang-terang menyalahi undang-undang kerana ini bermakna NMLC sebenarnya telah membayar invois satu syarikat lain dan pengarahnya perlu didakwa kerana membuat pembayaran secara tidak sah walaupun syarikat itu dimiliki oleh orang yang sama.

“Perkara ini jelas menunjukkan ia telah melanggar Akta Syarikat dan berlakunya pemindahan secara tidak sah, ini bermakna ia melanggar AMLA,” kata Rafizi.

Ekoran urusniaga yang meragukan ini berlaku, Rafizi meminta penjelasan samaada keluarga Shahrizat mengaut untung dua kali dalam pembelian lembu-lembu dari luar negara yang dibekalkan kepada NFC, apakah Global Biofuture mengaut untung atas angin dengan mengenakan margin apabila ia menjual pula lembu-lembu kepada NFC dan mengapakah NFC tidak boleh membeli terus lembu-lembu tersebut dari pembekal tanpa melalui orang tengah yang kebetulannya pula dimiliki keluarga Shahrizat.

Walaupun tidak memiliki bukti untuk menunjukkan hubungan NFC dengan Global Biofuture secara langsung, Rafizi tetap mencabar NFC untuk menafikan dakwaannya memandangkan banyak keraguan di dalam transaksi yang berlaku melibatkan MNLC.

Berdasarkan bukti-bukti tersebut, Rafizi menggesa Bank Negara dan pihak berkuasa mengambil tindakan dan menyiasat keluarga Shahrizat atas kemungkinan melanggar Akta Anti Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Pengerusi NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang juga suami kepada Shahrizat menghadapi dua dakwaan kes pecah amanah dan dua kes melanggar Akta Syarikat membabitkan wang melebihi RM49 juta, kelmarin.

Dua pertuduhan pertama itu adalah atas kesalahan menggunakan RM9,758,140 dana National Feedlot Corporation (NFC) untuk membeli dua unit kondominium di Komplek One Menerung, di Bangsar, pada 2 dan 4 Disember, 2009.

Kesalahan berikutnya pula membabitkan pemindahan RM40 juta dana NFC kepada National Meat ands Livestock Corporation dari 5 Mei hingga 16 Nov 2009.

Dalam kedua-dua kes, Mohamad Salleh yang merupakan pengerusi eksekutif NFC didakwa menggunakan dana tanpa kelulusan mesyuarat agung tahunan NFC.

Perkara ini menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 132 Akta Syarikat 1965.

No comments:

Post a Comment