Saturday 13 October 2012

22 KOMPUTER DIRAMPAS DALAM OPS DADU





RAMPASAN......Adzhar (dua kanan), Timbalan Ketua Polis, DSP Douglas Nyeging Taong (kanan), DSP Lim Nee Kon (dua kiri) dan pegawai polis menunjukkan hasil rampasan iaitu komputer, wang tunai dan dadah dalam operasi pada Khamis lalu.

Oleh : ADRIAN NANDU


LABUAN: Sejumlah 22 unit komputer dan wang tunai bernilai RM863 telah dirampas oleh pihak polis dalam serbuan ke empat lokasi kafe siber di sekitar kawasan bandar pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superitendan Adzhar Othman kelmarin berkata dalam operasi Ops Dadu pada jam 3.30 petang itu, tiga lelaki dan tiga wanita yang bertugas sebagai penjaga premis turut ditahan.

“Pihak polis turut menahan 15 lelaki dan dua wanita dalam lingkungan umur 19 hingga 48 tahun yang sedang menggunakan komputer di keempat-empat buah kafe siber ketika serbuan dilakukan.

“Walau bagaimanapun, kesemua pekerja premis dan pengguna komputer terbabit dibebaskan dengan jaminan pihak polis,” katanya dan menambah, berdasarkan maklumat orang awam, keempat-empat buah kafe siber itu menjalankan aktiviti perjudian.

Beliau berkata, kes itu kini sedang disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Jika didapati bersalah, penjaga premis boleh didenda tidak kurang dari RM10,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas dan penjara tidak lebih dari lima tahun.

Bagi pemain judi pula, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, mereka boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Menurut statistik polis dari bulan Januari sehingga 12 Oktober, Adzhar berkata sebanyak 37 serbuan ke premis perjudian telah dijalankan.

“Sebanyak 64 tangkapan telah dilakukan, di mana 355 unit komputer telah dirampas berserta wang tunai bernilai RM29,424 untuk sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.

Sementara itu, pada hari yang sama, seramai tujuh orang telah ditahan dalam Ops Tapis kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah.

“Operasi awal itu dijalankan pada jam 2 pagi di Jalan Perkhidmatan terhadap dua orang lelaki yang mencurigakan dan berumur dalam lingkungan 30an yang sedang berada di dalam sebuah kenderaan Proton Wira.

“Semasa pemeriksaan pihak polis, kedua suspek itu kelihatan gelisah, di mana pihak polis telah menjumpai dua paket dadah jenis syabu yang disembunyikan di dalam poket seluar kedua-dua suspek terbabit,” katanya.

Adzhar berkata, berat kasar kedua paket plastik dadah yang dirampas dari kedua-dua suspek ialah 0.91gram dan kedua-dua suspek juga didapati positif dadah melalui ujian air kencing.

“Kedua-dua suspek kini ditahan mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Hasil soal siasat yang dijalankan, salah seorang suspek mengaku ada menyimpan beberapa lagi paket plastik dadah di Kampung Muslim di sini.

“Serbuan lanjut telah mendapati tujuh paket plastik syabu telah ditemui di dalam almari pakaian di rumah salah seorang dari suspek itu. Berat kasar dadah yang dirampas ialah 5.06 gram.

Beliau berkata, operasi lain telah dijalankan di tiga buah lokasi di sini iaitu di Kampung Patau-Patau, Kampung Merinding dan kawasan bandar.

Dalam operasi itu, pihak polis telah berjaya menahan lima lelaki berumur antara 30 dan 40 tahun.

“Kesemua mereka didapati positif dadah jenis syabu dan kini ditahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. (UB)

No comments:

Post a Comment