Friday 19 October 2012

8,735 PTI DIHANTAR SEPTEMBER LEPAS





KOTA KINABALU : Seramai 8,735 warga asing telah dihantar semula ke negara masing-masing sepanjang tempoh Januari hingga September lepas.

Pengarah Pasukan Petugas Khas Persekutuan (PPKP) Sabah, Datuk Suhaimi Mohd Salleh berkata daripada jumlah itu, 6,314 adalah warganegara Filipina; 2,223 warga Indonesia dan 198 orang dari negara lain.

Menurut beliau, ia merupakan tangkapan daripada 20 operasi digelar OPS Tanduk yang telah dilaksanakan sepanjang tahun ini bagi membasmi kebanjiran PTI di Sabah.

Proses penghantaran menggunakan feri telah dilakukan daripada dua lokasi ke Filipina iaitu dari Sibuga, Sandakan ke Zamboanga dan Semporna ke Bongou sementara dari daerah Tawau ke Nunukan, Indonesia.

“Menangani isu kebanjiran PTI terutamanya dari negara Filipina terus menjadi agenda utama kerajaan dan usaha untuk memastikan masalah terbabit diselesaikan kini giat dilaksanakan,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Sementara itu, Suhaimi berkata seramai 3,777 warga asing berada di tiga Pusat Tahanan Sementara (PTS) yang terdapat di negeri ini iaitu di Papar, Sandakan dan Tawau di mana 3,059 daripadanya adalah rakyat Filipina.

“Manakala 650 daripadanya adalah rakyat Indonesia dan baki jumlah itu dari lain-lain negara yang kini dalam proses penghantaran ke negara asal mereka,” katanya.

Mengulas perkembangan lain, Suhaimi berkata pembinaan semula PTS di Menggatal kini berjalan dengan lancar dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2014.

“Projek yang menelan kos hampir RM14 juta itu bakal memiliki 14 blok tahanan yang baru dan lebih luas di samping kemudahan asas lain seperti mahkamah dan pejabat imigresen,” katanya. (UB)

No comments:

Post a Comment