Friday 12 October 2012

930 BANDUAN HUKUMAN MATI





KUALA LUMPUR : Seramai 930 banduan hukuman mati sedang ditahan di penjara di seluruh negara atas pelbagai kesalahan sehingga 31 Ogos lepas, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop.

Beliau berkata statistik Jabatan Penjara Malaysia menunjukkan antara kesalahan yang dilakukan ialah mengedar dadah, membunuh, culik, serta kesalahan berkaitan senjata api dan keselamatan negara.

“Hukuman terhadap banduan ini masih belum dapat dilaksanakan kerana masih di peringkat rayuan di mahkamah atau Lembaga Pengampunan Negeri,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) mengenai statistik terbaharu bagi banduan ‘bilik akhir’ di negara ini.

Abu Seman berkata daripada 930 banduan itu, 725 sedang dalam proses rayuan di mahkamah manakala 205 lagi di peringkat Lembaga Pengampunan Negeri.

Abu Seman berkata berdasarkan rayuan yang dibuat sejak 2001 hingga 31 Ogos 2012, 41 banduan hukuman mati telah diberi pengampunan yang mana enam diringankan hukuman kepada penjara sepanjang hayat, penjara seumur hidup (33 banduan), dibebaskan awal (seorang) dan bebas serta-merta (seorang).

Menjawab lagi soalan Karpal, beliau berkata kerajaan tidak bercadang menghapuskan hukuman mati mandatori tetapi menyambut baik sebarang cadangan yang diberi berkaitan perkara itu.

Kepada soalan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) sama ada kerajaan bercadang mengenakan bayaran balik ke atas banduan kesalahan berulang, Abu Seman berkata kerajaan tidak bercadang berbuat demikian memandangkan jumlah pesalah tersebut adalah kecil. (Bernama)

No comments:

Post a Comment