Wednesday 24 October 2012

AGEN MENYAMAR PENYENARAI CALON





Oleh : RUZAINI ZULKIFLI

KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan tempatan hampir-hampir menjadi mangsa kepada individu yang mendakwa dirinya sebagai agen daripada Unit Khas Penyenaraian Calon pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata mangsa, lelaki berusia 52 tahun, itu telah didatangi oleh seorang individu yang menawarkan mangsa untuk disenaraikan sebagai calon dan meminta sejumlah bayaran.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati individu terbabit mengaku dirinya adalah agen didatangkan dari Unit Khas Perdana Menteri yang kononnya dipertanggungjawabkan menyenaraikan nama calon-calon PRU di negeri ini.

Mangsa turut dipercayai diarahkan untuk melakukan pembayaran sejumlah wang menerusi kiriman bank daripada individu itu.

Mujur, mangsa belum lagi melakukan transaksi pembayaran setelah berasa curiga terhadap tawaran berkenaan dan telah melaporkan kejadian itu kepada pihak polis Karamunsing pada 18 Oktober lalu kira-kira jam 8 pagi.

“Baru-baru ini, kita telah menerima satu laporan daripada seorang ahli perniagaan terhadap seorang individu yang mengaku sebagai agen yang menawarkan perkhidmatan penamaan calon PRU di negeri ini.

“Turut difahamkan, bahawa mangsa telah dikenakan bayaran sejumlah wang yang perlu dikirimkan menerusi perbankan.

“Tiada tangkapan setakat ini dan kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan atas cubaan menipu,” katanya.

Sehubungan itu, Hamza menegaskan kepada orang ramai terutamanya kalangan ahli politik di negeri ini agar tidak terperdaya dengan mana-mana individu yang menawarkan khidmat sedemikian.

“Penamaan calon-calon untuk bertanding pada PRU sebenarnya hanya diketahui dan akan diumumkan oleh Perdana Menteri mahupun Ketua Pembangkang sendiri, bukan melalui agen-agen seperti mana kes ini.

“Polis dalam pada itu, ingin menasihatkan kepada orang ramai agar tidak terpengaruh dengan kegiatan ini bagi mengelakkan daripada ditipu dan seterusnya menyebabkan kerugian wang ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Hari Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kepayan dekat sini kelmarin.

Dalam perkembangan berasingan, Hamza telah memaklumkan kepada semua Ketua Polis Daerah (KPD) di negeri ini untuk bersiap sedia menghadapi PRU13 yang bakal berlansung pada bila-bila masa sahaja.

Beliau berkata, perkara itu adalah sebagai persiapan komprehensif termasuklah dari segi logistik, kekuatan anggota dan lain-lain.

“Seperti mana sedia maklum, seramai 10,000 anggota dari seluruh polis kontijen Sabah telah bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan PRU13 nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, Hamza menjelaskan berdasarkan pengalaman beliau ketika musim pilihanraya, pemantauan berterusan akan dilakukan oleh polis terutamanya yang berkaitan dengan perhimpunan.

“Polis meminta agar mana-mana parti politik agar memohon kelulusan sekiranya melakukan perhimpunan selaras dengan undang-undang yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya. (BP)

No comments:

Post a Comment