Tuesday 2 October 2012

ANAK WAJIB HARGAI PENGORBANAN IBU BAPA




KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Tun Razak berkata langkah mengadakan undang-undang untuk menjadikan pemberian nafkah kepada ibu bapa satu keperluan mungkin akan mengeruhkan ikatan kekeluargaan antara ibu bapa dan anak-anak.

Oleh itu, kata Perdana Menteri, kerajaan mengutamakan program kesedaran untuk memupuk serta menyubur rasa tanggungjawab dalam kalangan generasi muda terhadap keluarga ke arah memantapkan institusi keluarga. Katanya sebanyak 8,282 program seperti itu dilaksanakan sejak 2006 hingga Ogos lepas bagi melahirkan rasa tanggungjawab anak-anak supaya menghormati dan menghargai pengorbanan ibu bapa.

"Maka terlahirlah rasa keinsafan untuk menunaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa dan tidak mengabaikan mereka," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) di Dewan Rakyat sama ada kerajaan bersedia mengadakan undang-undang seumpama itu sebagai satu keperluan seperti di Singapura.

Najib yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata keperluan untuk mewujudkan undang-undang seumpama itu perlu diteliti dari pelbagai sudut terutama kemampuan kewangan seseorang individu.

"Undang-undang seumpama ini mungkin mengeruhkan ikatan kekeluargaan antara ibu bapa dan anak-anak. Apa yang penting adalah pelaksanaan usaha-usaha kesedaran melalui program pendidikan kekeluargaan yang perlu diperluas dan diberi penekanan terutama kepada generasi muda," katanya.

Katanya seramai 898,807 peserta terlibat dalam program kekeluargaan itu anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Najib berkata bermula November ini, sambutan hari Keluarga Kebangsaan yang diadakan pada 11 Nov setiap tahun akan diperluas kepada konsep Sambutan Bulan Keluarga selama sebulan. (Bernama)

No comments:

Post a Comment