Monday 8 October 2012

ANTI-RASUAH BUKAN TUGAS EKSKLUSIF KERAJAAN




KUALA LUMPUR : Pemikiran bahawa perjuangan menentang rasuah adalah tanggungjawab eksklusif kerajaan perlu diubah kerana ia harus dilakukan bersama dengan sektor swasta, kata seorang pegawai kanan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

"Pemikiran sebegini perlu diubah. Hakikatnya, sektor swasta mempunyai peranan penting dan mereka harus mempergiatkannya.

"Jadi, ia bukanlah tugas eksklusif kerajaan untuk melindungi masyarakat dan ekonomi daripada gejala rasuah. Ia mesti dilakukan bersama," kata Dmitri Vlassis kepada Bernama pada persidangan dan mesyuarat agung tahunan keenam Persatuan Pihak Berkuasa Anti-Rasuah Antarabangsa (IAACA) di sini Ahad.

Beliau berkata peranan sektor swasta adalah penting kerana menjalankan perniagaan tanpa rasuah adalah perniagaan yang baik.

Vlassis, wakil Setiausaha Agung PBB dan ketua jenayah ekonomi dan rasuah UNODC, merujuk skandal membabitkan Siemens, syarikat kejuruteraan elektrik dan elektronik multinasional Jerman yang pernah ditangkap menjalankan perniagaan dengan mengamalkan rasuah di seluruh dunia.

Perkara itu menggoncang dan menjejaskan keseluruhan syarikat sehingga satu pengurusan baru dengan toleransi sifar rasuah dilantik dan sejak itu, ia dilihat mencapai keuntungan yang kian meningkat.

Vlassis berkata terdapat bukti statistik yang jelas daripada institusi seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang menunjukkan satu perkaitan yang jelas antara satu ekonomi yang gagal dan tahap rasuah di negara tertentu.

Beliau memberi contoh beberapa negara yang kini berdepan krisis kewangan di Eropah termasuk negaranya sendiri iaitu Greece.

Vlassis juga berkata anggapan bahawa rasuah hanya berlaku di negara membangun adalah salah kerana gejala itu turut melanda negara maju.

Katanya, kerana rasuah, sebahagian besar sumber yang boleh ditumpukan kepada pembangunan diseleweng untuk tujuan lain dan ternyata rasuah memberi kesan negatif terhadap pembangunan.

Beliau turut mengulas persidangan IAACA selama empat hari itu yang berakhir hari ini dan dihadiri lebih 1,000 pegawai pencegah rasuah dari lebih 100 negara anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Katanya, penganjuran persidangan itu menunjukkan komitmen Malaysia terhadap rakyatnya dan masyarakat antabangsa yang memerlukan pemimpin bagi memerangi gejala rasuah. (Bernama)

No comments:

Post a Comment