Tuesday 9 October 2012

ANWAR 'JURUNIKAH' PAS DAN DAP?





Oleh : ZULKIFLI SULONG

KOTA KINABALU: Parti-parti Pakatan Rakyat diyakini tidak akan mudah pecah selepas pilihan raya umum nanti kerana ketiga-tiga sangat memerlukan antara satu sama lain.

Bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Yahya Lampong dalam wawancara eksklusifnya dengan Harakahdaily berkata, jika mana-mana parti dalam Pakatan itu keluar atau dikeluarkan, Pakatan akan hancur.

Bagi beliau, gabungan ini adalah perspektif baru dalam politik Malaysia dan bakal mendapat sokongan semua pihak.

Atas dasar itulah, beliau yakin, kerajaan yang dibentuk oleh Pakatan dalam pilihan raya nanti akan stabil dan tidak akan ada istilah 'minoriti partner' di dalam gabungan itu sebagaimana yang berlaku dalam kerajaan pusat sekarang.

Ini kerana, ketiga-tiga parti perlu melayan rakan mereka sama penting kerana masing-masing sedar kehilangan atau kelemahan sokongan salah satu dari mereka akan merosakkan mereka bersama.

Oleh itu, beliau yakin hubungan berdasarkan kepentingan bersama ini akan menyebabkan ketiga-tiga parti akan menjaga kepentingan rakan masing-masing.

Beliau juga yakin, mana-mana pihak yang akan menjadi perdana menteri termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjaga tingkah laku masing-masing dalam mentadbir negara.

"PAS akan tetap PAS sampai bila-bila dan akan menegur mana-mana yang membuat silap, ini saya yakin Anwar tahu. Begitu juga DAP, pemimpinnya akan jaga intergritinya dan ini Anwar tahu," kata beliau.

Yahya mengulas usaha yang dibuat oleh Umno sejak dari dahulu untuk menarik PAS keluar dari bergabung dengan PKR dan DAP dengan melagakan antara mereka.

Bagi beliau, usaha begitu dibuat Umno kerana mereka tahu, tanpa PAS Pakatan akan hancur sebagaimana tanpa DAP atau PKR.




Yahya juga yakin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedar perkara ini.
Beliau manamakan Anwar sebagai 'jurunikah' PAS dan DAP dan seterusnya membentuk Pakatan Rakyat.

Melalui gabungan ini, Yahya yang pernah menjadi menteri Sabah, Pengurus Besar SEDC Sabah yang pertama dan lain-lain jawatan itu yakin, Pakatan akan menang dalam pilihan raya umum akan datang.

"Saya yakin, kerusi Sabah dan Sarawak hanya bonus sahaja. Pakatan sudah akan menang melalui kerusi-kerusi di Semenanjung sahaja," kaya Yahya.

Beliau yang mengumumkan tindakan keluar Umno minggu lalu memberi jaminan akan menggunakan sepenuhnya pengalaman dan jaringan hubungan yang ada untuk membantu PAS khasnya menyertai kabinet Sabah selepas pilihan raya umum nanti.

Sehingga kini, PAS belum mempunyai Adun di tiga negeri iaitu Melaka, Sabah dan Sarawak.

Yahya yakin, PAS bukan sahaja akan ada wakil dalam DUN Sabah selepas pilihan raya umum akan datang tetapi beliau akan memastikan wakil PAS akan ada dalam Kabinet Sabah.

Menurut Yahya, PAS akan menang paling kurang dua kerusi DUN Sabah dalam pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana, beliau terlibat secara langsung dalam kedua-dua kerusi yang bakal ditandingi PAS itu sejak dari dahulu lagi.

PAS Sabah dijangka akan bertanding 11 kerusi DUN dan beberapa kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum nanti.

"Sikap dan peranan pemimpin PAS ini sangat penting untuk menjadi penentu arah perjalanan kerajaan negeri.

"PAS sudah biasa jadi kerajaan dan biasa jadi pembangkang. Oleh itu, dia akan berani membuat apa-apa teguran yang perlu jika sesiapa saja membuat salah," katanya.

No comments:

Post a Comment