Thursday 11 October 2012

ANWAR PENDAKYAH SONGSANG AMERIKA?





Oleh : DATUK RAIME UNGGI  (Sedutan Ucapan Parlimen)

Tuan Yang di-Pertua,

RAKYAT Sabah semakin hari semakin meluat dengan pelbagai dakyah yang dibuat oleh pembangkang. Rakyat Sabah bukannya rakyatnya yang mudah diperkotak-katikkan dengan cerita-cerita manis.

Tidak bermakna rakyat Sabah diam dan lihat sahaja, pembangkang telah mencanangkan bahawa rakyat Sabah akan bangkit kononnya untuk reformasi bagi pembentukan kerajaan yang baru.

Saya ingin menyentuh sedikit ucapan Ketua Pembangkang pada tempoh hari yang membandingkan negara Turki dan Malaysia. Saya ada membuat research dan pembacaan apa yang cuba disampaikan oleh Ketua Pembangkang.

Kenapa hendak diagung-agungkan negara Turki sedangkan Turki juga sebuah negara Islam yang moden dan sedang meningkat. Sama juga seperti Malaysia. Seperti mana Perdana Menteri British, David Cameron sendiri merujuk Malaysia sebagai penjana bagi ekonomi moden global.

Ketua Pembangkang pula menggambarkan Turki sebagai 'a new economic miracle' dengan izin. Tidak salah kerana kedua-duanya adalah negara Islam contoh.

Tetapi 'spinning' yang dibuat oleh Ketua Pembangkang ini seolah-olah hendak menyalahkan pemimpin negara kita bahawa kita tidak membuat apa-apa. Seolah-olah meminggirkan rakyat jelata, tiada perancangan yang strategik. Ini tidak benar. Cuba kita lihat Rancangan Malaysia Pertama hingga Ke-10 menerusi bajet-bajet yang dibentangkan ada menceritakan segala-galanya.

Tuan Yang di-Pertua,

Turki mempunyai sejarah gemilangnya. Asalnya ialah dari Empayar Rom Timur dan kemudiannya menjadi Empayar Uthmaniah yang mana kehebatan Sultan Muhammad Al-Fatih dan bala tenteranya menawan Istanbul yang awalnya dikenali sebagai Konstantinopel pada tahun 1453.

Akibat kemerosotan ekonomi dan ketidakstabilan politik, ia diambil alih oleh  Kamal Ataturk sehinggalah sekarang, Recep Tayyip Erdogan yang memperlihatkan Islam moden kembali berkembang selepas sistem sekular dilaksanakan sebelum itu.


Dalam ucapan Ketua Pembangkang, beliau ada menyebut yang Erdogan telah berjaya melonjakkan kemakmuran ekonomi negara dalam tempoh yang begitu singkat, tetapi tidak diterangkan secara jelas bagaimana kemakmuran itu dicapai.

Terangkanlah supaya kita di sini faham tetapi secara umum sahaja. Sekadar menyebut 7 hingga 9 peratus pertumbuhan ekonominya sahaja tetapi saya hendak memberitahu kepada dewan yang mulia ini bahawa Turki juga mengalami kadar pengangguran yang tinggi iaitu hampir 12 peratus malahan pengagihan pendapatan masih tidak sekata.

Ini bukan saya sebut tetapi ia disebut dalam laporan The New York Times bertarikh 21 September 2012 yang lalu. Ini tidak disebut oleh Ketua Pembangkang.

Mengapa Ketua Pembangkang tidak menyebut bahawa negara kita Malaysia purata kadar pengangguran adalah sekitar 3 peratus dan kadar inflasi hanyalah kurang dari 2 peratus.

Inilah Ketua Pembangkang, kalau hendak membuat perbandingan, biar betul-betul menunjukkan keadaan yang adil itu. Tetapi ini tidak. Tergantung begitu sahaja.

Saya hendak memberitahu kepada dewan yang mulia ini bahawa nilai bagi sektor kewangan Islam global, misalnya, pada tahun 1985 adalah sekitar AS$5 bilion sahaja tetapi kini ia melebihi AS$1 trilion. Malaysia sahaja menyumbangkan kira-kira 40 peratus daripada nilai itu.

Apakah kerajaan pimpinan Barisan Nasional dikatakan tidak berbuat apa-apa atau diperlekehkan oleh Ketua Pembangkang dalam ucapan perbahasan bajetnya tempoh hari ?

Tuan Yang di-Pertua,

Ketua Pembangkang ada menyebut soal hutang, soal hutang kepada Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) Turki yang dikatakan telah selesai. Saya check dan terbaca dalam hansard itu dan ia tidak benar.

Kenyataan saya hari ini, saya sertakan dengan sokongan dan kenyataan akhbar bertarikh 8 Oktober 2012, oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, yang juga Ahli Parlimen Jerlun yang dipetik sebagai berkata hakikat sebenarnya ialah Turki belum melangsaikan hutang itu dan ia dijangka hanya dapat diselesaikan pada April tahun depan.

Dia berkata lagi, ini berdasarkan kenyataan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan ketika berucap dalam perhimpunan agung partinya, Justice and Development Party beberapa hari sebelum Anwar berbahas di Parlimen. Jadi siapa yang benar dan betul, Erdogan atau Anwar?

Jadi saya melihat Ketua Pembangkang ini juga bersikap tidak adil kerana enggan mengiktiraf dasar kerajaan Malaysia ketika menghadapi krisis ekonomi pada 1997 yang menyelamatkan negara daripada malapetaka besar tanpa membuat pinjaman daripada IMF.

Tuan Yang di-Pertua,

Bila kita banyak bercakap sesuatu perkara, hendaklah juga toleh kiri dan kanan. Ketua Pembangkang dalam ucapannya ada menyebut kejayaan Turki di bawah Erdogan adalah berteraskan keadilan sosial dan ketelusan.

Jadi saya pun hairan apa yang disebutkan dengan keadilan sosial dan ketelusan itu? Tidak dihuraikan satu persatu kejayaan Turki itu bagi membolehkan kita mencontohi di Malaysia ini.
Saya bagi contoh di selatan Turki, masih banyak berlaku aktiviti-aktiviti penyeludupan yang tinggi di sempadan negaranya yang mana penyeludupan seperti senjata, alat komunikasi canggih, peralatan hospital dikesan. Di mana ketelusan dan amanah yang dipertanggungjawab oleh rakyat Turki yang menjaga keselamatan sempadan negara?

Bagi keadilan sosial, dalam laporan New York Times itu ada menyebut awal Januari tahun 2012 sahaja, seramai 97 pengamal media termasuk wartawan, penerbit dan pengedar buku mengikut seperti dilaporkan oleh Kesatuan Kewartawanan Turki telah dipenjarakan di negara tersebut.

Adakah ini berlaku di Malaysia? Saya hendak tanya sekarang? Apakah kebebasan media di negara ini disekat-sekat atau dilarang sama sekali?

Jadi apabila kita hendak membuat perbandingan, jangan menjurus ke arah keaiban negara kita kononnya Malaysia adalah sebuah negara yang perlu direformasikan. Salah istilah itu tetapi perkataan yang lebih tepat, iaitu transformasi.

Kita tidak mahu kerana pembangkang, nilai perdagangan antara Turki dan Malaysia lebih AS$40 bilion terjejas.

Tuan Yang di-Pertua,

Saya juga hendak tahu apakah benar dakwaan sebuah blog yang ditulis oleh Nile Bowie – seorang penulis untuk Centre For Research on Globalization di Montreal, Kanada bahawa kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) Pro-Israel mengakui menaja kumpulan pakatan pembangkang di negara ini.

Saya ada bukti tulisan ini. Dalam tulisan blog itu kata, Ambiga ada mengakui ada dua organisasi dari Amerika Syarikat telah menaja iaitu National Democratic Institute (NDI) dan Open Society Institute (OSI) dalam gerakan BERSIH dan berkaitan dengannya.


Seperti yang kita ketahui, bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Madeline Albright adalah mempengerusikan NDI manakala presiden NDI, Kenneth Wollack pernah berkhidmat dalam “Legislative Director Of The American Israel Public Affairs Committee” dengan izin yang mana beliau dilihat sebagai “Israel most prominent lobbyist organization and one that influences American legislation to exert aggressive Israeli policy and viewpoints” dengan izin.

Walaupun NGO ini kononnya memperjuangkan dan mempromosikan demokrasi dan fortifiying civil society dengan izin di seluruh dunia, tetapi gerakan mereka terlalu mencurigakan.

Jadi saya pohon Kerajaan, Jabatan Peguam Negara, PDRM, SPRM dan Kementerian Luar menyiasat lebih mendalam gerakan mereka.

Satu lagi gerakan NGO iaitu National Endowment for Democracy (NED) adalah salah satu yang dikatakan menyediakan dana operasi sebanyak RM317,260 kepada news website Malaysiakini. Malah NED juga menyediakan RM285,516 kepada SUARAM.

Di samping itu, program NED di Malaysia turut menganjurkan satu bentuk gerak kerja penyelidikan pendapat awam bersama dengan pemimpin negeri di Pulau Pinang dan Selangor, selain latihan dan perkara yang berkaitan dengan wakil rakyat di tempat masing-masing. Ini bukan saya cakap tetapi di dalam blog.

Jadi kita hendak tahu siapa NED ini? Setakat mana pergerakannya di negara ini? Apakah ia bergerak sebenar-benar di atas platform NGO atau bagaimana? Apakah pula peranan dan kerjasama eratnya dengan negeri-negeri yang dikuasai pembangkang. Jadi saya pohon Kerajaan melihat perkara ini secara serius.


Untuk makluman dewan yang mulia ini, Ketua Pembangkang pernah menjadi ahli panelist NED di majlis 'Democracy Award' yang diadakan di Washington. Ini diceritakan dan ditulis oleh Nile Bowie.  

No comments:

Post a Comment