Friday 26 October 2012

BANDUAN MUDA LANJUT PELAJARAN DI SIKK





KOTA KINABALU: Menjalani hukuman di penjara tidak menghalang banduan muda di Sekolah Integriti Penjara Kota Kinabalu (SIKK) untuk melanjutkan pengajian setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Pengarah Penjara Pusat, Bismillah Abang Masrah berkata kemahuan itu bagaimanapun terserah kepada para penghuni di situ sama ada mahu memohon mengikuti pengajian ataupun bidang kemahiran.

Menurut beliau, pihaknya tidak meletakkan had kepada mereka untuk terus mengikuti proses pembelajaran meskipun menjalani tempoh hukuman di situ.

Malah, beliau berkata pihak penjara akan bekerjasama dengan mana-mana intitusi pengajian atau universiti sebaik penghuni menerima keputusan peperiksaan mereka.

“Setakat ini, belum ada penghuni yang mengikuti Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) setelah tamat SPM namun ianya bergantung kepada kemahuan mereka sama ada ingin memasuki bidang akademik ataupun program kemahiran.

“Di SIKK, kita sebaik mungkin memberikan kelengkapan dari sudut prasarana misalnya perpustakaan, kelas dan kemudahan belajar serta tenaga pengajar kepada banduan muda berkenaan seperti mana kemudahan yang terdapat di sekolah luar sana.

“Untuk sudut kemahiran pula, kita turut menyediakan bengkel kemahiran di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta kelas refleksologi.

“Malah sekiranya mereka tamat SPM dengan mendapat kelulusan, mereka juga boleh mengikuti proses pembelajaran di SIKK meskipun masih menjalani tempoh hukuman sedia ada,” katanya.

Jelas Bismillah, seramai 18 banduan muda telah menjalani peperiksaan SPM di SIKK sejak ia ditubuhkan tiga tahun lepas dan rata-ratanya menerima keputusan serta kelulusan yang memberangsangkan.

“Sekiranya mengikut pecahan sejak SIKK ditubuhkan, seramai 10 banduan muda telah menduduki SPM di sini pada 2009, 2010 dengan lima orang dan bagi tahun 2011 pula tiga orang,” katanya.

Beliau berkata, untuk tahun ini seramai lima banduan muda bakal menduduki peperiksaan SPM pada 5 November hadapan yang diadakan serentak di seluruh negeri.

“Untuk pengetahuan umum, pada peperiksaan SPM tahun lepas seorang banduan muda telah mencapai keputusan 2A dan ini menandakan tidak semestinya menjalani hukuman penjara menjadi faktor kegagalan kepada mereka.

“Malah berdasarkan gred purata sekolah peratus kelulusan pada tahun 2011 turut menunjukkan peningkatan 100 peratus di mana pada tahun sebelumnya hanya 60 peratus kelulusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui setelah merasmikan Program Restu Ilmu di SIKK kelmarin.

Program itu merupakan julung kali diadakan di situ dengan berobjektifkan mendapat restu daripada keluarga yang dijemput hadir bagi memberikan semangat kepada banduan muda yang menjadi calon SPM pada tahun ini. (UB)

No comments:

Post a Comment