Wednesday 17 October 2012

BANGSAMORO: PERANAN MALAYSIA DIPERLUKAN





ISTANA.....Presiden Filipina Benigno Aquino (kiri) bersama Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ketibaan Najib di Istana Presiden di Manila.

MANILA : Peranan Malaysia masih diperlukan dalam beberapa aspek dari segi penentuan masa depan dan perjalanan Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro yang ditandatangani di sini semalam, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Perdana Menteri ada beberapa aspek yang perlu diberi perhatian dan apa juga persefahaman dalam rangka kerja itu antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang hendak diterjemahkan nanti memerlukan pemantauan rapi.

Katanya perjanjian kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dulu gagal kerana tiada pasukan pemantau dari segi pelaksanaan perjanjian yang dibuat antara kedua-dua pihak.

“Jadi pada kali ini dengan adanya perjanjian dengan MILF, amat penting ada pihak ketiga untuk memantau perjanjian ini yang diyakini kedua-dua pihak. Nampaknya kedua-dua pihak begitu yakin dengan Malaysia dan peranan kita.

“Jadi kita perlu teruskan peranan ini dan bentuknya...butirannya kita akan adakan perbincangan berterusan dengan kedua-dua pihak dan kita akan cuba tentukan satu struktur dan kaedah yang sesuai untuk kita lanjutkan peranan kita sehingga satu bentuk kerajaan baru itu menjadi kenyataan,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini, malam tadi.

“Dari segi penentuan masa depan dan perjalanan perjanjian rangka kerja ini maka peranan Malaysia tidak terputus dengan pertukaran perjanjian ini (semalam) kerana ada beberapa aspek lagi yang perlu diberi perhatian. Antaranya dari segi askar MILF yang hendak dihentikan untuk mereka jadi orang awam, katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri “Majlis Mesra Bersama Rakyat Malaysia” dengan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di sebuah hotel, di sini.

Ditanya mengenai kemungkinan peranan Malaysia dalam proses pemberhentian pasukan tentera MILF, Najib berkata ini perlu dibincangkan.

“Ini kita kena bincang dengan MILF. Maknanya bila ada perjanjian ini mereka akan dihentikan secara berperingkat dan proses ini perlu dipantau dan disahkan oleh pihak yang ketiga dan Malaysia adalah pihak yang paling sesuai untuk memainkan peranan tersebut,” katanya.

Najib berkata semasa perbincangan beliau dengan Presiden Benigno Aquino III semalam, pemimpin Filipina itu mengharapkan Malaysia dapat memainkan peranan terutama dari segi peluang latihan kepada generasi muda di kawasan selatan Filipina yang banyak ketinggalan dari segi pembangunan selepas konflik hamper empat dekad.

“Di samping itu, saya juga bayangkan kemungkinan kita ambil bahagian dalam pembangunan tanah di kawasan itu,” kata Najib.

“Apapun yang kita nak lakukan kita setuju perkara seperti ini dibincangkan di bawah payung Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) antara kedua-dua Negara di mana mesyuarat yang diketuai kedua-dua menteri luar akan memperincikan bagaimana kerjasama Malaysia-Filipina dapat kita lakukan terutama dalam konteks peranan kita di selatan Filipina,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata Aquino juga meminta agar kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Tentera Filipina dikembangkan lagi melalui satu perjanjian yang dipanggil “Visiting Forces Agreement” atau perjanjian pasukan pelawat.

Najib berkata untuk menjayakan kerjasama ini, beberapa aspek perundangan perlu dibincangkan.

“Mereka (Filipina) sudah ada perjanjian itu dengan Amerika Syarikat...jadi kalau dibuat dengan Malaysia, jadi kita negara kedua mereka ada perjanjian ini,” kata Najib.

Katanya Malaysia juga berharap kerjasama ekonomi ditingkatkan kerana walaupun perdagangan dua hala semakin berkembang pesat, namun pelaburan masih pada tahap tidak begitu tinggi.

“Kita harap dengan perasaan muhibah yang ada melalui peranan kita dalam menentukan perjanjian damai ini maka Malaysia dapat perhatian dan sambutan lebih positif dalam konteks hubungan bilateral,” katanya.

Katanya, ini bukan sahaja penting untuk mewujudkan peluang pelaburan di selatan Filipina selepas ini, tetapi sama penting adalah menentukan agar factor risiko adalah rendah.

Manfaat keamanan bermakna pembangunan ekonomi dan dalam hal ini kerajaan Filipina perlu meningkatkan perbelanjaan untuk kawasan tersebut termasuk membawa pembangunan infrastruktur, kata beliau.

Najib berkata Presiden negara itu telah membayangkan untuk menambah peruntukan untuk kawasan selatan Filipina.

Katanya kerajaan itu juga perlu mewujudkan peluang untuk menarik pelaburan dan mengadakan program meningkatkan pendidikan dan kemahiran bagi masyarakat di sana.

Najib berkata pemimpin MILF juga sedar akan cabaran yang menanti dalam membawa manafaat kepada penyokong dan pengikut mereka hasil perjanjian ini.

“Kali ini Murad Ibrahim (pengerusi MILF) sedar bila saya bincang dengannya...cabaran besar bagaimana dia nak pastikan manfaat perjanjian damai ini dinikmati penyokong dalam masa yang paling singkat ini. Kalau tidak mungkin mereka akan tertanya-tanya...boleh jadi juga jadi gelisah kerana dahagakan sangat perubahan pada masa depan,” kata Najib.

Ditanya mengenai MNLF yang menolak perjanjian ini, Najib berkata MNLF perlu menghadapi realiti semasa dan menyertai proses pembangunan Bangsamoro.

“Saya fikir akhirnya tanpa sokongan luar, MNLF perlu menerimanya..ini kenyataan. Jadi, saya berharap mereka akhirnya akan turut sama ke arah usaha membangunkan wilayah Bangsamoro,” kata Najib. (Bernama)

No comments:

Post a Comment