Sunday 14 October 2012

BEKAS AHLI USNO DIPELAWA SERTAI PAS





Oleh: HJ. HAMZAH BIN HJ. ABDULLAH

BAGI pihak PAS Negeri Sabah, saya selaku Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, mempelawa semua bekas ahli USNO untuk menyertai PAS demi merealisasikan sebuah perjuangan berasaskan keadilan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

PAS Sabah telah pun menerima banyak permohonan dari bekas ahli-ahli USNO khususnya dari Daerah Tawau dan telah menghantar permohonan untuk menjadi ahli PAS ke Ibu Pejabat PAS Kuala Lumpur. Terdapat sejumlah ahli-ahli USNO dari Sandakan dan Kota Kinabalu yang juga telah mengisi borang keahlian PAS dan telah diterima menjadi ahli.

Perjuangan PAS banyak mempunyai persamaan dengan USNO dimana asas perjuangan kedua-dua parti ini adalah berdasarkan kepada keadilan sejagat. Allahyarham Tun Mustapha, pengasas USNO dan Bapa Kemerdekaan Sabah mempunyai hubungan yang cukup akrab dengan Allahyarham Dato Hj. Yusof Rawa, Presiden PAS yang kelima selepas Dato Asri Hj. Muda.

Allahyarham Tun Mustapha juga mempunyai hubungan yang baik dengan Tuan Hj. Subky Latiff, seorang wartawan dan penulis terkenal, yang juga merupakan bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor.

UMNO pernah melukakan hati Allahyarham Tun Mustapha sewaktu UMNO hendak memulakan langkah mengembangkan sayapnya ke Negeri Sabah. Banyak janji-janji yang dibuat keatas Tun Mustapha telah dikhianati yang akhirnya membawa Allahyarham Tun Mustapha bekerjasama dengan PBS untuk kali kedua dalam pakatan yang dinamakan sebagai PBS plus USNO.

Lawatan Najib ke Istana Tun Mustapha di Kudat kelmarin tidak lebih hanya sebagai sebuah lakonan dan helah yang agendanya cuba melunakkan hati para penyokong dan ahli-ahli USNO yang masih tidak dapat melupakan sejarah hitam yang pernah menimpa parti USNO dan Allahyarham Tun Mustapha sendiri angkara politik kotor mainan UMNO dan para pemimpinnya.

PAS Sabah menasihatkan para penyokong serta ahli-ahli USNO agar 'tidak jatuh disatu lubang yang sama sebanyak dua kali'. Insiden yang pernah menimpa USNO telah juga dialami oleh PAS di mana PAS yang telah berkorban dengan menyertai BN atas pelawaan UMNO pada tahun 1974, akhirnya ditendang keluar oleh UMNO apabila merasakan UMNO tercabar dengan kekuatan PAS yang semakin meningkat. USNO juga pernah ditendang keluar oleh UMNO kerana USNO membangkitkan isu penyerahan Pulau Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.

PAS bersedia mempertimbangkan cadangan bagi  meletakkan beberapa nekas pemimpin  USNO untuk menjadi calon pada PRU 13 yang bakal diadakan bila-bila masa sekarang. PAS Negeri Sabah telahpun bermesyuarat sebelum ini dan bakal mengumumkan keputusannya pada masa yang sesuai kelak.

No comments:

Post a Comment