Friday 5 October 2012

BENDUNG TRAK LEBIH MUATAN




LEBIH MUATAN..... Beberapa trak melebihi muatan yang dipercayai mempercepatkan kemerosotan keadaan Jalan Selangau-Matadeng.

KUCHING: Walaupun selepas lebih setahun menjalani pentauliahan Piawaian Pengubahsuaian R5 Jabatan Kerja Raya (JKR), Jalan Selangau- Matadeng masih lagi sesak dengan pengangkutan berat termasuk trak mengangkut arang batu dari loji pemprosesan arang batu berdekatan.

Aliran trafik kenderaan berat melebihi muatan yang membawa arang batu dan minyak sawit terus berlaku sejak Naim Engineering Sdn Bhd ditugaskan untuk memulakan projek pembinaan Jalan Selangau- Matadeng dua tahun lalu.

Jurucakap Naim menjelaskan jalan raya yang telah dibina itu berdasarkan spesifikasi yang disediakan kerajaan dan direka berdasarkan Piawaian R5 bagi jalan persekutuan atau lebuh raya dengan kawalan akses serta had laju terhad sehingga 90 kilometer sejam.

“Kami ditugas untuk menjalankan kajian teknikal dan survei lalu lintas oleh pakar bagi mengesahkan kualiti pembinaan jalan mengikut standard yang diperlukan dan mengumpulkan data mengenai penggunaan jalan raya,” kata jurucakap berkenaan.

“Terdapat kajian perbandingan aliran trafik dan penggunaan yang dilakukan di tiga lokasi berbeza di atas jalan dalam tempoh berbeza pada tahun 2010 dan 2012 dan yang terbaharu, Julai 2012.

“Kajian menunjukkan bahawa bilangan kenderaan yang melalui jalan berkenaan meningkat dengan ketara yang menyaksikan trak secara purata menyumbang lebih daripada 50 peratus,” katanya.

Malah menurut jurucakap itu: “Satu kaji selidik trafik juga mendedahkan bahawa jumlah kenderaan yang melalui jalan ke arah utara adalah kira-kira 1,584 unit setiap 24 jam (sehari), manakala jumlah kapasiti yang dibenarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ialah 10 tan per gandar (‘axle’), dan jalan raya tidak berupaya untuk mengekalkan penggunaan berterusan daripada trak melebihi muatan.”

Menurut sumber, Utusan Borneo memahami bahawa terdapat beberapa trak melebihi muatan sebanyak 90 peratus daripada beban yang dibenarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Pada Julai 2012, kita menugaskan Kumpulan IKRAM (Sarawak) Sdn Bhd, perunding terkenal untuk pembinaan dan infrastruktur, bagi mengendalikan kajian Dynamic Cone Penetrometer (DCP) dan kajian Keadaan Permukaan (Surface Condition).

“Laporan berkenaan mengesahkan bahawa kita telah mematuhi spesifikasi daripada apa yang diperlukan dan kekuatan struktur turapan adalah mencukupi (menetapi standard piawaian yang ditetapkan),” kata jurucakap terbabit.

Jelasnya, masalah sama dialami jalan dari Bintulu ke Bakun.

Dalam kes di sana, jalan terbabit banyak digunakan oleh trak mengangkut kayu balak melebihi muatan, justeru ia mengalami kerosakan dengan cepat.

“Walaupun ketegangan dan tekanan yang ditunjukkan di jalan raya disebabkan oleh trak melebihi muatan, Naim terus memelihara dan membaiki jalan sepanjang 52.

4 kilometer itu, dan setakat ini telah membelanjakan tambahan RM5 juta untuk mengekalkan keadaan atau memperbaiki kerosakan.

“Bagaimanapun, punca masalah itu berkekalan iaitu penggunaan jalan oleh trak melebihi muatan dan walaupun penyelenggaraan dilakukan, kerosakan tetap akan terus berlaku,” dedah jurucakap itu lagi.

Trak melebihi muatan yang terlibat dipercayai boleh merosakkan jalan raya pada faktor antara empat hingga lima kali melebihi keadaan normal.

“Jika masalah kesesakan trak melebihi muatan ini tidak dibendung, kesan buruknya ia akan mempercepatkan kerosakan jalan raya dalam tempoh kurang daripada tiga tahun,” jelasnya.

Naim berpendapat, untuk mengekalkan keadaan jalan raya, semua akses kepada jalan raya harus dipantau dan dikawal bagi memastikan hanya pengguna (trak) yang telah mendapat pemeriksaan daripada JPJ dibenarkan melalui jalan berkenaan.

“Kami menyeru kepada JPJ untuk menguatkuasakan kapasiti beban yang dibawa ke atas semua kenderaan komersial yang menggunakan jalan ini agar ia tidak mudah rosak. Dengan cara ini, kita boleh memperlahan kadar kemerosotan jalan,” ujarnya. (UB)

No comments:

Post a Comment