Saturday 27 October 2012

DAP MINTA PILIH TANDING SATU KERUSI SAHAJA





GEORGE TOWN : Pengerusi DAP Karpal Singh menyeru wakil rakyat daripada parti itu yang menyandang dua kerusi supaya memilih hanya satu kerusi untuk mereka tandingi pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata dalam mesyuaratnya, jawatankausa kerja pusat (CEC) parti itu bersetuju bahawa hanya dalam kes 'terkecuali', seseorang anggota parti itu dibenar menyandang dua kerusi (kerusi negeri dan parlimen).

Karpal Singh berkata beliau berpendapat Ketua Menteri Pulau Pinang, yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng boleh dianggap sebagai antara kes terkecuali itu.

“Keadaan terkecuali ini perlu diambil kira dalam erti kata sebenarnya. Oleh itu, adalah penting bagi mereka yang menyandang dua kerusi mengisytiharkan secara terbuka bahawa mereka akan memilih satu kerusi sahaja.

“Mereka patut berbuat demikian demi kepentingan pakatan pembangkang. Berbeza dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, beliau mampu tangani secara langsung isu yang melibatkan kerajaan persekutuan dan negeri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata terserahlah kepada CEC untuk memutuskan kerusi mana yang perlu dilepaskan oleh calon.

Kini, sembilan wakil rakyat DAP menyandang dua kerusi, tiga daripada mereka di Pulau Pinang iaitu Guan Eng, Timbalan ketua Menteri P Ramasamy dan ketua DAP negeri Chow Kon Yeow.

Karpal Singh berkata langkah melepaskan kerusi tidak sepatutnya menjadi masalah sekarang kerana DAP tidak lagi kekurangan calon berkebolehan berbanding sebelum ini. (Bernama)

No comments:

Post a Comment