Monday 8 October 2012

DASAR 'MALAYSIAN WAY' DITERUSKAN





KUANTAN : Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak berkata dasar 'Malaysian Way', yang dilaksanakan pemimpin terdahulu, akan terus diamalkan dalam usaha menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020.

Beliau berkata dasar itu berjaya mewujudkan perpaduan di kalangan pelbagai etnik dan menjadikan Malaysia antara negara terbaik di dunia dari segi perpaduan kaum.

"Malaysian Way berbeza dengan negara lain, antaranya dalam memupuk perpaduan di mana kepimpinan terdahulu berjaya mengekalkan budaya, agama dan pendidikan semua kaum," katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena ulang tahun ke-27 dan upacara angkat sumpah Gabungan Persatuan Cina Pahang (GPPC) Ahad malam.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden GPPC Tan Sri Pheng Yin Huah.

Beliau berkata rakyat Malaysia tidak perlu mengamalkan dasar asimilasi atau menukar jati diri kerana boleh memupuk perpaduan serta mewujudkan integrasi nasional berdasarkan toleransi yang terdapat sejak dahulu lagi.

"Saya akan meneruskan apa sahaja yang mampu (dasar itu) kerana kita ingin lihat negara ini maju menjelang 2020," katanya.

Najib berkata menerusi dasar ini, Malaysia berjaya mencapai pelbagai kejayaan dan pembangunan pesat tanpa meminggirkan mana-mana pihak, termasuk kaum minoriti.

Beliau berkata dalam pendidikan misalnya, selain China, Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang membenarkan pengajian di sekolah dijalankan dalam bahasa Cina.

Najib turut menempelak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak pernah melakukan apa-apa pembelaan untuk pendidikan kaum Cina di negara ini ketika menjadi Menteri Pelajaran. (Bernama)

No comments:

Post a Comment