Wednesday 17 October 2012

HUBUNGAN EKONOMI M'SIA-FILIPINA BERKEMBANG





Oleh : R. RAVICHANDRAN

MANILA : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa komuniti perniagaan Malaysia dan Filipina meneroka peluang dan potensi ekonomi yang tersedia bagi meningkatkan jumlah dagangan dua hala, selain pelaburan.

Najib berkata Komuniti Ekonomi Asean yang akan diwujudkan menjelang 2015 bermakna penyepaduan ekonomi yang lebih tinggi dan oleh itu lebih banyak peluang untuk kedua-dua pihak meningkatkan pelaburan dan perdagangan.

Menerusi Komuniti Ekonomi Asean (AEC), pasaran tunggal serantau negara Asean akan diwujudkan menjelang 2015. Objektif penyepaduan serantau ialah untuk mewujudkan pasaran yang kompetitif melebihi 600 juta penduduk di negara Asean.

Najib berkata keamanan dan pembangunan di selatan Filipina susulan pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja mengenai Bangsamoro semalam turut meningkatkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri juga berkata jumlah dagangan antara Malaysia dan Filipina susut kira-kira 20 hingga 22 peratus tahun lepas berbanding tahun sebelumnya, terutama disebabkan oleh kelembapan ekonomi dunia.

Najib berkata demikian semasa pertemuan bersama anggota Majlis Perniagaan Malaysia-Filipina pada akhir lawatan rasmi tiga harinya ke republik itu.

Lawatan itu dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Setiausaha Jabatan Perdagangan dan Industri Filipina Gregory Domingo.

Perdana Menteri berkata pelaburan Malaysia di Filipina tiga kali lebih tinggi berbanding pelaburan Filipina di Malaysia (nisbah 3:1).

"Kami berharap tahap dagangan dari segi nilai dan jumlah ini ditingkatkan dalam tempoh terdekat... saya percaya potensinya belum direalisasikan sepenuhnya.

"Diharapkan kita boleh menyaksikan peningkatan dalam hubungan politik dan ekonomi," katanya.

Najib berkata Kawasan Pertumbuhan Asean-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) juga memerlukan dorongan segar dan pemeteraian perjanjian rangka kerja mengenai Bangsamoro semalam dapat mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk peluang-peluang perniagaan dan pelaburan.

Beliau berkata hubungan peribadi yang baik dengan Presiden Filipina Benigno Aquino III serta hubungan dengan Manila kini sangat baik dan kesemua ini dapat membantu meningkatkan hubungan dalam kedudukan yang positif.

Najib juga memberitahu komuniti perniagaan bahawa kerajaan Malaysia merupakan kerajaan yang mesra perniagaan.

"Kami tidak campur tangan dalam keputusan mengenai perniagaan... kami mahu ahli perniagaan membuat keputusan mereka sendiri... kami hanya sebagai pemudah cara," katanya dan menambah beliau yakin terhadap hubungan ekonomi dengan Asean pada masa akan datang.

Perdana Menteri berkata bank-bank di Malaysia kini memberi lebih banyak pinjaman untuk menjalankan perniagaan di Filipina.

Beliau berkata pada masa ini dua bank Malaysia beroperasi di Filipina (Maybank dan CIMB) dan kedua-dua yakin terhadap prospek di negara ini.

Beliau juga berkata ekonomi Filipina juga mencatat pertumbuhan yang baik,yang bermakna prospek ekonomi yang cerah pada masa depan.

Najib berkata Malaysia juga membuat kemajuan besar dalam Program Transformasi Ekonomi, yang meliputi kemasukan pelaburan besar.

"Malaysia kini merupakan pusat penawaran saham permulaan (IPO) ketiga terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat dan China," katanya.

Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor berlepas pulang pada Selasa. (Bernama)

No comments:

Post a Comment