Friday 26 October 2012

ICAC MEMBISU TENTANG KES RM40 JUTA






SURUHANJAYA Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong enggan mendedahkan sebarang butiran berkaitan siasatannya terhadap kes RM40 juta di mana ia dilaporkan telah membersihkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman daripada dakwaan pengubahan wang haram.

Dalam jawapannya kepada Malaysiakini, ICAC secara ringkas mengucapkan terima kasih kepada portal berita itu yang bertanyakan mengenai siasatan tersebut.

"Kami menghargai pemahaman anda bahawa kami tidak akan mengulas mengenai kes-kes individu," kata pegawai maklumat media kanannya, Cecily Chik dalam satu kenyataan ringkas.

Malaysiakini ingin tahu sama ada ICAC memang telah membersihkan Musa dan telah menutup siasatannya berhubung RM40 juta yang ditemui bersama ahli perniagaan Michael Chia di Hong Kong, yang dikatakan untuk Musa.

Dilaporkan bahawa ICAC telah menyoalsiasat Musa dan telah membersihkannya daripada dakwaan tersebut. Pendedahan itu dibuat oleh Setiausaha Umno Sabah, Datuk  Abdul Rahman Dahlan.

Menteri Undang-undang, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz juga dipetik sebagai berkata wang itu adalah untuk Umno Sabah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berkata bahawa tiada unsur rasuah telah dibuktikan.

Sementara itu, Bruno Manser Fund (BMF) telah mendedahkan bahawa ICAC juga enggan memberi maklumat mengenai status siasatan terhadap Musa.

Berikutan itu, BMF menyeru ICAC memaklumkan secara terbuka status dan keputusan siasatannya itu.

No comments:

Post a Comment