KUDAT : Kerajaan Persekutuan
bersetuju pada prinsipnya untuk melaksanakan projek pembinaan jalan pesisir
menghubungkan Tuaran, Kota Marudu hingga Kudat, kata Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak.
Beliau berkata jalan pesisir
berkenaan perlu dibina bagi merangsang pertumbuhan ekonomi di laluan jalan
berkenaan seterusnya membantu meningkatkan ekonomi penduduk di ketiga-tiga
kawasan yang dilalui jalan berkenaan kelak.
"Saya difahamkan bahawa
jalan pesisir melalui Tuaran, Kota Marudu ke Kudat perlu kita laksanakan sebab
apabila ada jalan pesisir yang besar dan luas maka banyaklah kawasan dapat
dibuka dan dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi.
"Cuma saya nak tentukan
peruntukan yang diperlukan dan bila saya dapat tentukan peruntukan, maka projek
ini akan saya umumkan secara rasmi. Tetapi percayalah ianya akan dilaksanakan
oleh kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika merasmikan program Jelajah
Janji Ditepati di Kompleks Sukan Kudat di sini, hari ini.
Najib juga berkata bahawa
beliau secara prinsipnya bersetuju supaya sebuah pusat Kastam, Imigresen dan
Kuarantin (CIQ) diwujudkan di Kudat memandangkan kedudukan daerah itu yang
bersempadan dengan Pulau Palawan, Selatan Filipina dan sebagai pintu masuk utara
negeri Sabah.
Katanya keperluan berkenaan
juga bersesuaian dengan persetujuan kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan
Islam Moro (MILF) untuk menandatangani Rangka Kerja Perjanjian damai bagi
mengakhiri konflik 40 tahun mereka, yang akan disaksikan Perdana Menteri hari
ini.
"Bila Filipina Selatan
aman, mereka boleh melakukan pembangunan dan bila berlaku pembangunan kuranglah
orang yang akan masuk (ke Sabah) secara haram dan Kawasan Pertumbuhan Asia
Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) akan lebih maju,
perdagangan dapat ditingkatkan dan pelaburan juga dapat ditambah bagi kawasan
itu," katanya.
Menurut Najib, satu kajian
terperinci akan dilakukan mengenai segala keperluan pewujudan CIQ berkenaan dan
peruntukan bagi pembinaannya akan diumumkan apabila tiba masanya.
Najib juga berkata
Perbadanan Perumahan 1Malaysia (PR1MA) akan bekerjasama dengan kerajaan negeri
Sabah bagi menentukan lokasi pembinaan rumah mampu milik di seluruh negeri
Sabah untuk memenuhi permintaan rumah bagi rakyat di negeri ini.
Selain itu, kata Najib,
pusat PERMATA Negara juga akan diwujudkan di setiap kawasan Parlimen di Sabah
melalui peruntukan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat. (Bernama)
No comments:
Post a Comment