Thursday 25 October 2012

JALAN ULU KUKUT 'SYURGA' PEROMPAK?





Saudara Pengarang,

PROJEK pembaikan jalan utama yang sedang berlaku untuk menghubungkan Kota Kinabalu-Kudat yang perlu melalui Kg Ulu Kukut, Kota Belud amat dialu-alukan. Bagaimanapun, dalam tempoh tiga bulan terakhir ini telah berlaku dua jenayah rompakan di jalan ini.

Dalam dua insiden berkenaan, pemandu wanita yang berasal dari Kota Marudu disamun laptop dan pemandu lelaki yang berasal dari Kudat dirompak wang. Suspek yang melakukan rompakan ini berkemungkinan besar pekerja asing yang berkerja dengan kontraktor pembinaan jalan atau perompak profesional di Sabah atau rakyat tempatan di sana.

Jenayah rompakan ini berlaku apabila pemandu kenderaan melalui kawasan ini selepas jam 6 petang. Pengguna jalan raya perlu memperlahankan kenderaan kerana bentuk jalan yang berlubang dan berbatu kelikir.

Situasi teruk ini diburukkan lagi dengan tidak banyak kenderaan lalu lalang di kawasan sekitar yang lengang, gelap, sepi dan berjauhan daripada rumah penduduk tempatan. Keadaan ini ibarat 'penjenayah mengantuk disorongkan bantal' dan membuka peluang perompak ini mencari 'rezeki'.

Terdapat tiga modus operandi yang dilakukan oleh penjenayah ini iaitu seorang lelaki atau perempuan (ahli perompak) akan berdiri di tepi jalan dan memberikan isyarat menahan kereta mangsa untuk meminta bantuan kononnya ada kecemasan. 





Apabila mangsa berhenti dan membuka pintu kereta, secara tiba-tiba puluhan ahli perompak yang lain akan keluar dari semak ibarat lanun darat untuk menyamun. Setelah mangsa selesai dirompak, perompak ini akan membenarkan mangsa meneruskan perjalanan. Perompak tadi akan menghilangkan diri ke hutan atau kawasan semak berdekatan.

Modus operandi kedua ialah perompak ini akan menaburkan kaca dan paku di kawasan strategik. Apabila mangsa menyedari tayar kereta pancit sudah tentu pemandu akan memberhentikan kenderaan dan pada waktu inilah perompak tadi menyamun pemandu yang bernasib malang ini.

Modus operadi ketiga ialah perompak ini akan melakukan halangan menggunakan kenderaan mereka (Hilux/Pikap/Lori) di tengah jalan. Salah seorang perompak akan bertindak ganas dengan memecahkan cermin kenderaan pemandu awam yang ingkar tidak membuka kunci pintu kenderaan.

Sangat menakutkan! Selain kejadian jenayah, keadaan jalan yang gelap dan tiada papan tanda amaran juga menyebabkan kekerapan berlakunya kemalangan jalan raya di kawasan ini.

Dengan ini, saya mencadangkan kepada Ahli Parlimen Kota Belud dan pihak berkuasa agar;
1. Memasang kamera AES JPJ atau CCTV di kawasan ini.
2. Menempatkan RELA, Askar dan Polis berjaga di kawasan sekitar selepas jam enam petang.
3. Menjalankan tapisan keselamatan kepada semua pekerja asing di tapak pembinaan jalan raya yang berkhemah di kawasan sekitar.

Salam Hormat,

MOHD HISYAMMIEDDY BIN ESA
Pengasas Gagasan Pemikir Suara Rakyat Tempatan (SURAT)

No comments:

Post a Comment