Oleh: MOHD FAIZAL MOHD
SALLEH & AZHAN AHMAD
KUALA LUMPUR : “Cuma satu
harapan kita agar jangan ada sesiapa mengatakan kedua-dua tokoh ini dibayar
oleh UMNO atau kedua-dua kenyataan ini adalah agenda UMNO.
“Sebab, perkara itu tidak
berlaku dan kita juga tidak ada masa untuk menggunakan orang dan janganlah
merendahkan kredibiliti dan tahap intelektual kedua-dua pemimpin Pas tersebut”,
demikian pandangan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim bagi
mengulas tindakan dua pemimpin Pas mengenai tindak tanduk Datuk Seri Anwar
Ibrahim dan kerjasama Pas bersama DAP yang dilihat bercanggah dengan kehendak
Islam.
Timbalan Mursyidul Am Pas,
Datuk Dr. Haron Din semalam meminta mana-mana pihak tidak mengaitkan Pas dengan
tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan buku tulisan bekas Ahli Parlimen
India, Mobashar Jawed Akbar yang berfahaman liberal.
Beliau yang dipetik dari
sebuah portal berita AntaraPos.com menegaskan demikian ekoran kenyataan
Mobashar yang didakwa meremehkan peranan Islam dalam pembentukan sesebuah
negara ketika majlis itu di ibu negara, baru-baru ini.
Manakala Sasterawan Negara
yang juga ahli Pas seumur hidup Profesor Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad pula
berkata perjuangan politik Pas kini tidak lagi menepati kehendak Islam apabila
parti itu bekerjasama dengan DAP.
Shahnon berkata apa yang
dilakukan oleh Pas sekarang ialah hanya menuruti kehendak politik DAP dan
pendekatan seumpama itu bercanggah dengan kehendak Islam kerana Pas sepatutnya
memimpin dalam memperjuang Islam.
“Kita percaya ia datang
dengan satu kesedaran dan pemerhatian yang cukup jitu terhadap Anwar Ibrahim
dan perjuangan Pas di kala ini.
“Kita yakin perjuangan Pas
semakin terpesong kerana pimpinan yang ada itu adalah mereka yang sama-sama
mempertahan dan memperjuangkan agenda Anwar Ibrahim,” ujar Razali ketika
ditemui di Lobi Parlimen hari ini.
Beliau yang juga Naib Ketua
Pemuda UMNO Malaysia seterusnya berkata Pas mempunyai kekuatan, kelebihan dari
segi agama, cuma menggunakan agama dalam politik yang menyebabkan mereka hilang
pertimbangan.
“Jadi sudah sampai masanya
mereka memperbaiki keadaan, bukan pasal politik tetapi pasal kedudukan agama
Islam itu sendiri, dengan kuatnya politik maka kita memperjuangkan agama Islam.
“Begitu juga dengan
meletakkan Islam di kedudukan yang betul, Insya-Allah dari segi kuasa iaitu
politik, dapat kita kekalkan samaada mereka ingin bersama atau tidak, itu akan
menjelaskan pendirian mereka yang sebenar”, katanya.
Beliau seterusnya percaya
selagi Pas berada dalam pakatan pembangkang maka parti itu akan terpecah dua.
Justeru tegas beliau jangan
pula UMNO atau Barisan Nasional dipersalahkan atau menuduh apa yang dinyatakan
kedua-dua pemimpin Pas ini sebagai sandiwara UMNO.
“Syukur Alhamdulillah, jika
kesedaran itu datang dari pemimpin Pas sendiri sebab kita dah sebut perkara ini
dah lama, cuma kreabiliti kita diserang hebat sampai orang tidak percaya tetapi
kita ada juga penyokong yang taksub yang hanya mendengar pemimpin mereka
sahaja.
“Jadi apabila Haron Din
berkata bahawa Anwar Ibrahim akan membuat pendekatan yang menguntungkan dia
(Anwar Ibrahim) sahaja, saya rasa bersyukur sebab perkara itu kita dah nampak
lama, sejak dia di dalam UMNO pun kita dah Nampak”, ujarnya.
Justeru beliau berharap
pengikut dan penyokong parti Pas menilai balik apa yang telah diluahkan oleh
kedua-dua pemimpin Pas ini. (MediaUMNO)
No comments:
Post a Comment