Friday 19 October 2012

JUVANA SUSPEK PECAH RUMAH MURID?





PECAH.....Bilik murid yang dipecah masuk oleh Juvana tetapi tiada laporan polis dibuat.

Saudara Pengarang,

GENAP seminggu kejadian pecah rumah dan pembunuhan kejam haiwan peliharaan murid OKU SK Matunggong Kudat telah berlalu. Saya yang baharu mengetahui perkara tersebut semalam telah melakukan lawatan ke rumah Frederick di Kg Rokam Darat pada jam 8.00 pagi tadi kerana jadual mengajar saya hari ini hanya akan bermula jam 9.40 pagi.

Kesempatan mengunjungi lokasi kejadian dan mendapatkan info terperinci perkembangan kes ini daripada ibu murid ini telah membuka minda saya tentang perkara yang lebih luas merentas sosial, ekonomi dan politik luar bandar.

Melalui risikan daripada ibu murid ini, beliau mendapati pelaku tersebut terdiri daripada empat orang pelajar sekolah menengah. Menurut beliau, remaja terbabit telah beberapa kali dicekup polis ke lokap dan disogit (denda).

Malangnya tiada perubahan kepada remaja terbabit disebabkan ibubapa remaja tadi mempertahankan anak mereka. Timbul persoalan dibenak saya bahawa sudah tiba masanya remaja tadi ditempatkan ke Sekolah Integriti atau Henry Gurney untuk budak-budak yang nakal supaya pembentukan kembali nilai positif dapat dilakukan.

Setelah selesai misi di rumah Frederick, saya terserempak dengan seorang lagi murid saya yang tidak dapat hadir kerana masalah kewangan iaitu Elawon Mojilin. Ketika ditemui, Elawon ini sedang berjalan ke hutan bersama sepupunya yang juga OKU masalah pembelajaran tetapi tidak mampu ke Bandar Kudat yang menawarkan Pendidikan Khas di Sekolah Menengah.

Ketika di simpang jalan utama, saya amat sedih melihat perhentian bas yang terhalang oleh rumput yang panjang dan sudah tentu ini tidak mesra OKU.

Saya juga sempat singgah melihat di perhentian bas simpang Kg Bonduk (Alexion yang thalasemia). Situasi yang berbeza tetapi tetap juga tidak mesra OKU dengan keadaan fizikal yang seperti mahu tumbang.

Dengan ini saya merayu kepada pihak yang simpati dan empati, agar dapatlah menyumbang Bas Mini Percuma untuk murid OKU atau dana ehsan kewangan membina asrama desa mesra OKU di SK Matunggong Kudat.

Salam Hormat,

MOHD HISYAMMIEDDY BIN ESA
Pengerusi Majlis Guru Pendidikan Khas Kudat merangkap Penyelaras Program Pendidikan Khas Integrasi SK Matunggong Kudat dan Pengasas NGO Suara Rakyat Tempatan (SURAT).

No comments:

Post a Comment