Monday 29 October 2012

KAN SARAN KAJI SEMULA SISTEM PEROLEHAN




                                                    
Oleh : IDA LIM

KUALA LUMPUR : Ketua Audit Negara (KAN) Tan Sri Ambrin Buang mengesyorkan Putrajaya menimbang semula sistem perolehan yang tidak lagi diuruskan melalui Jabatan Akauntan Negara dan hanya bergantung kepada kawalan dalaman di dalam kementerian bagi memastikan dana awam dibelanjakan dengan telus.

“Dulu kamu biasa menerima pertanyaan daripada ketua akauntan jika sesuatu tidak betul,” Ambrin memberitahu akhbar bahasa Inggeris New Sunday Times (NST) dalam temubual yang disiarkan hari ini.

“Saya fikir itulah salah satu kelemahan sistem (baru), terutamanya jika orang tidak mempunyai integriti. Jadi mungkin kerajaan perlu meneliti ini.

“Tetapi penggunaan sistem baru kebelakangan tahun ini, dokumen itu hanya dihantar kepada kementerian atau jabatan.

“Maka disini kawalan dalaman mesti memastikan individu tersebut tidak menyalahgunakan sistem itu.”

Sistem baru tersebut akan digunakan penjawat awam untuk melangkaui Jabatan Akauntan Negara bagi memperolehi sesuatu untuk pihak kerajaan. Ia diperkenalkan bertujuan untuk meningkatkan kecekapan kerajaan semasa membuat sejumlah besar pembayaran setiap hari.

Menurut NST lagi, dasar baru di mana kerajaan perlu menyelesaikan semua bil perolehan dalam tempoh dua minggu juga telah menyebabkan Putrajaya terpaksa menukar sistem.

Ambrin, yang telah berkhidmat sebagai Ketua Audit Negara sejak 2006, enggan mengakui sistem baru tersebut akan menyebabkan lebih banyak pembaziran dana pembayar cukai dan menambah beliau hanya menggambarkan situasi yang berlaku sahaja.

Beliau turut menjelaskan bahawa di bawah sistem elektronik semasa, semua dokumen perolehan hanya dimiliki jabatan kerajaan dan tugas memeriksa pembelian akan dipertanggungjawabkan kepada jawatankuasa audit dalaman.

Beliau memberitahu NST: “Saya hanya mengatakan apa yang berlaku sekarang; kerana (kini) Perancangan Bajet Elektronik, Sistem Kawalan dan Sistem dan Pengurusan Kewangan kerajaan dilakukan secara elektronik, (di mana) dokumen, dokumen sokongan, LO dan semua itu dimiliki jabatan.

“Jadi tidak ada pihak luar memantau mereka. Sekali lagi, ia melibatkan kualiti sesebuah kawalan dalaman,” kata Ambrin lagi.

Beliau turut mendakwa bahawa pemeriksaan dalaman mungkin tidak dapat menghentikan individu yang berniat untuk “menipu”.

Ambrin juga memberikan nasihat kepada mereka dalam jawatankuasa dalaman audit dengan berkata: “Periksa, ambil contoh setiap bulan dan pastikan kehadiran anda diketahui, ia mungkin akan bantu orang ramai untuk lebih berwaspada. Tai ia masih tidak dapat menjamim jika terdapat orang yang mahu menipu.”

Isnin lalu, Ambrin berkata banyak agensi kerajaan telah meningkatkan prestasi kewangan mereka pada tahun lepas dengan 111 dinilai sebagai “sangat baik” berbanding 77 agensi pada tahun 2010 dan 48 agensi pada tahun 2009.

Beliau juga berkata kutipan hasil kerajaan telah meningkat kepada RM185.42 bilion, peningkatan sebanyak RM25.77 bilion daripada RM159.65 bilion pada tahun 2010.

Penganalisis mendakwa pengabaian proses tender terbuka dalam beberapa projek seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 mungkin menjejaskan tahap kepercayaan orang awam kepada kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah berikrar untuk menggunakan tender terbuka dengan mengumumkannya semasa majlis pelancaran Program Transformasi Ekonomi (ETP) pada tahun 2010.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk meningkatkan ketelusan dengan memasukan rasuah sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam GTP, Malaysia jatuh empat tangga kepada 60 dalam Indeks Persepsi Rasuah yang dikeluarkan Transparency International pada tahun lepas.

No comments:

Post a Comment