Monday 29 October 2012

KDN SIASAT DUA RAKYAT MALAYSIA AHLI AL QAEDA




                         
KLUANG : Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melakukan siasatan terperinci mengenai dua rakyat Malaysia yang disyaki terbabit dalam kegiatan keganasan dan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata pada masa sama pihak kementerian sedang menunggu laporan daripada Kementerian Luar mengenai latar belakang kedua-dua lelaki terbabit untuk tindakan lanjut.

“Masih terlalu awal untuk mengumumkan penglibatan mereka (dengan keganasan dan Al-Qaeda),” katanya kepada pemberita selepas program ibadah korban kawasan Parlimen Sembrong di Kampung Sri Tambak, di sini, baru-baru ini.

Hishammuddin yang juga anggota Parlimen Sembrong mengulas penahanan dua lelaki rakyat Malaysia oleh pihak berkuasa Lubnan kerana disyaki dalam misi untuk melakukan serangan berani mati dan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.

Duta Malaysia ke Lubnan Ilango Karuppannan mengesahkan kedua-dua lelaki berusia 21 dan 28 tahun itu ditahan beberapa hari lepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut.

Hishammuddin berkata KDN tidak sesekali memandang ringan penglibatan rakyat negara ini dengan rangkaian militan seperti Al-Qaeda dan taliban.

Bagaimanapun, beliau berkata penglibatan rakyat negara ini dengan rangkaian pengganas di Timur Tengah bukan fenomena biasa kerana sebelum ini rakyat Malaysia di luar negara hanya terlibat dengan rangkaian militan di sekitar rantau ini.

Katanya tiada negara yang terkecuali daripada kegiatan pengganas disebabkan dunia tanpa sempadan ketika ini dan menurutnya pihak berkuasa negara dengan kerjasama pihak risikan antarabangsa sentiasa melakukan pemantauan bagi menangani isu berkenaan.

“Penglibatan rakyat kita dengan Al-Qaeda dan taliban ini kita kena siasat dan kaji dengan mendalam kerana perkara ini amat membimbangkan kita. Gerakan militan juga tidak berkisar kepada minoriti Islam sahaja tetapi pelbagai kaum dan agama di dunia ini,” katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment