Thursday 18 October 2012

KEBAJIKAN MURID OKU LUAR BANDAR TERABAI?




                       
Saudara Pengarang,

BELUM PUN reda isu masalah pengangkutan murid istimewa yang tinggal jauh daripada SK Matunggong, Kudat; kini timbul pula isu keselamatan murid dengan peningkatan kes jenayah pecah rumah sehingga menumpahkan darah!

Pada hari ini, Frederick Maratim (tengah) dari Kg Rokam Darat, Parapat, dapat hadir ke sekolah dengan ditemani ibunya. Murid ini antara yang saya beri kebenaran khas untuk hadir sekali dalam seminggu kerana masalah kewangan dan pengangkutan.
Sebelum ini telah tersiar keperitan Alexion Pinor, murid Thalassemia dari Kg Bonduk Parapat dan adik beradik Harexson Raymond dari Kg Radtak Pinawantai.

Untuk makluman pembaca, adik Frederick ini perlu berjalan kaki sejauh 2 kilometer melalui dua buah bukit jalan berbatu kelikir untuk sampai ke jalan besar di Simpang Kg Kandawayon, Kudat.

Frederick juga mempunyai masalah kesihatan yang serius kerana doktor menjelaskan Frederick tidak boleh terlalu lama di bawah sinaran terik matahari kerana akan merosakkan otaknya; selain masalah asma dan kekurangan G6PD.

Ironinya sudah jatuh ditimpa tangga. Minggu lalu pada 11 Oktober 2012, murid ini dan ibunya hadir ke sekolah. Apabila pulang ke rumah, didapati rumah mereka telah dipecah masuk oleh penceroboh.

Seluruh rumah berselerak dan paling mengejutkan tragedi kematian haiwan peliharaan yang menjaga rumah iaitu anjing. Ibarat pembunuhan kejam, anjing tersebut telah dipenggal kepala dan ditetak bertubi-tubi menyebabkan keseluruhan ruang tamu dan bilik rumah berlumuran darah.

Barang yang dicuri ialah tabung syiling dan sebuah kamus Bahasa Inggeris. Ibu murid ini tidak melaporkan kepada polis kerana menurut Ketua Kampung, tindakan hanya akan dibuat jika perompak itu dapat ditangkap.

Mungkinkah sudah tiba masanya, untuk menjamin keselamatan, hendaklah ditempatkan seorang askar atau RELA berkawal di setiap kampung? Dari segi masalah pengangkutan, sekali lagi Asrama Desa Mesra OKU mungkin wajar disegerakan di SK Matunggong atau penyediaan Bas Sekolah Mini Istimewa diwujudkan segera.

Salam hormat,

MOHD HISYAMMIEDDY BIN ESA
Pengerusi Majlis Guru Pendidikan Khas Kudat Merangkap Penyelaras Program Pendidikan Khas Integrasi SK Matunggong Kudat dan Pengasas Badan NGO Suara Rakyat Tempatan (SURAT)

No comments:

Post a Comment