Monday 15 October 2012

KEGELOJOHAN PEMBANGKANG SIRNAKAN HARAPAN





Oleh : LOPUNG

SEMANGAT membara untuk terus memperjuangkan hak sendiri hampir memuncak, di setiap diri dan sanubari rakyat Sabah; terutama sekali golongan belia. Terhimpit dengan masalah kewangan, masalah pendatang asing, masalah kemudahan yang tidak cukup di serata negeri Sabah; terutamanya di kawasan kampung yang kebanyakan hanya disajikan dengan jalanraya yang layak dilalui oleh kerbau pendek (khinzir).

Kenaikan harga barang, royalti minyak, harga petrol yang sudah menyaksikan beberapa siri kenaikan, harga gula yang meningkat dan banyak lagi masalah yang menghimpit diri seluruh rakyat. Perasaan marah dan berapi-api seperti gunung berapi yang menunggu memuntahkan laharnya untuk meranapkan seluruh perkampungan yang berada di bawahnya.

Kini Sabah bukan sahaja menjadi tarikan pelancong dari luar dan dalam negara tapi kini menjadi tarikan parti politik dari seberang. Pemimpin tertinggi di kedua belah pihak masing-masing melancarkan serangan bertubi-tubi ke arah gunung kinabalu; dengan siri lawatan yang luarbiasa dan tidak seperti selalu.

Apa istimewanya Sabah ini? Kenapa baru sekarang kedua-dua pemimpin tertinggi ini bertungkus lumus menyerang Sabah. Kenapa tidak dari dulu?

Saat rakyat Sabah memerlukan parti politik yang mampu menyokong mereka; mampu memberi sinar harapan kepada mereka; mampu mengurangkan kos perbelanjaan harian; mampu membantu mereka untuk terus hidup, STAR muncul dengan penuh bergaya dengan siri jelajah yang kini semakin diterima rakyat Sabah.

Dengan 7 Agenda yang diwar-warkan akan mampu membawa rakyat kepada kemakmuran dan mengembalikan autonomi rakyat Sabah. Datuk Dr Jeffrey Kitingan dikatakan telah ke Sarawak untuk menerangkan agenda Borneo kedua negeri ini dan menyemai perasaan 'Anti-Semenanjung' iaitu tidak menerima parti dari Semenanjung untuk datang ke Borneo.

Namun apa yang berlaku, di Sarawak tidak seperti di Sabah. Parti kompenen BN pada keseluruhannya adalah parti lokal dan hanya parti pembangkang sahaja daripada semenanjung.

Mampukah Jeffrey meyakinkan seluruh rakyat Sabah untuk menyokong parti STAR kerana apa yang kita lihat, parti ini anti semenanjung dan tidak ingin bekerjasama dengan parti dari Malaya.

Seandainya ia berterusan sehingga PRU 13, sudah pastinya keadaan politik di Sabah tidak menentu dan nampak seimbang oleh kerana berlakunya perpecahan undir daripada pihak pembangkang.

Kenyataan parti ini yang menyatakan bahawa, STAR akan menjadi penentu kerajaan mana yang bakal memimpin negara seandainya parti ini menang nanti adalah satu yang kurang bijak kerana jelas terbukti bahawa parti ini akan bekerjasama dengan mana-mana parti daripada malaya pada akhirnya, selepas mereka menang.

Di manakah pendirian mereka untuk tidak bekerjasama dengan parti Malaya? Bagaimanakah mereka ingin mencapai 7 Agenda sekiranya tidak berkerjasama dengan parti daripada Malaya contohnya parti pembangkang PR.

Parti ini sama seperti PBS suatu ketika dahulu, berjuang untuk rakyat namun menghadapi laluan yang sukar kerana tiadanya kerjasama antara kerajaan persekutuan ketika itu.

Seharusnya Jeffrey berbincang dengan PR untuk melaksanakan agenda parti ini. Dari sekaranglah mereka berbincang. Kalau bukan sekarang bila lagi, NI Kali Lah..! ataukah parti ini masih ada perasaan takut dan berada di persimpangan jalan untuk menyokong PR atau BN.

Tidak dinafikan, dengan siri jelajah Ketua Umum PKR, telah mampu menggamit perasaan dan minat rakyat terhadap janji-janji yang diberikan oleh Anuar Ibrahim.

Beliau dengan ucapannya berkomitemen menurunkan harga kenderaan, menghapuskan PTPTN, minyak 20% kepada Sabah, pembangunan yang setaraf dengan Semenanjung, hak Sabah setaraf dengan Semenanjung dan menurunkan harga minyak 24 jam selepas menang dan menjadi Perdana Menteri pada PRU 13.

Segalanya sudah terhidang; sudah di depan mata; segalanya sudah tersedia dan hanya kita yang harus mengarahkan jari kita untuk memangkah kertas undi pada PRU13 nanti. Peluang keemasan ini tidak akan datang selalu dan ia harus diambil perhatian yang serius oleh seluruh rakyat Sabah.

Namun disebaliknya, adakah janji mereka ini boleh menjadi kenyataan? Seandainya harga minyak global melonjak naik pada masa tersebut, adakah Anwar akan menurunkan harga minyak yang mungkin menyebabkan hutang negara meningkat?

Dengan siri jelajah PM yang kini menjanjikan 2.8 Billion peruntukan untuk negeri Sabah pada tahun hadapan, adalah budget yang tertinggi daripada pihak kerajaan persekutuan kepada kerajaan Negeri Sabah.

Ini adalah atas usaha keras kerajaan BN Sabah, yang menuntut peruntukan yang banyak pada tahun hadapan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah. Kemudahan-kemudahan yang disalurkan di setiap adun juga menampakkan perubahan dalam kehidupan harian penduduk luar bandar.

Sungguhpun demikian, masih banyak tempat yang memerlukan peruntukan untuk membina kemudahan seperti jalanraya, elektrik dan lain-lain kemudahan. Terdapat juga sekolah yang sudah uzur dan perlu diperbaiki namun terlepas pandang daripada pihak kerajaan.

Bantun Zink, tangki dan peralatan lain didakwa satu kaedah menarik perhatian penduduk di saat akhir dan termasuk juga pengumuman demi pengumuman projek mega bagi sesuatu kawasan.

Namun berjayakah BN memancing pengundi yang semakin muak dengan karenah pemimpin-pemimpin yang tidak mampu mendengar masalah rakyat? Seperti yang dilakukan oleh Nazri Aziz terhadap isu PATI, tidak mampu menyelesaikan isu royalti minyak? Tidak mampu menyelesaikan masalah kenaikan sara hidup? Kenapa baru sekarang pengumuman seperti ini di beritahu? Kenapa tidak dari dulu?

Perasaan rakyat, siapa yang tahu; kepertian rakyat, siapa yang tahu; masalah rakyat, siapa yang harus dipersalahkan? Negeri Sabah kaya dengan sumber asli termasuk gas dan minyak dengan siri penemuan terbaru di Kudat dan sekarang ini di Kimanis.

Seharusnya Pemimpin kita tegas dalam hal ini dan membuat perjanjian baru bagi menentukan berapa persen yang perlu dibayar oleh sesiapa sahaja yang ingin mengusahakan telaga minyak ini.

Masalah ini juga amat menggangu emosi rakyat Sabah kerana ini adalah hak yang harus dipertahankan. Negeri ini sememangnya kaya tapi kini menjadi meskin kerana semua harta kekayaan diangkut keluar dari negeri ini dan hanya sedikit yang dikembalikan.

Kini gegaran gunung berapi semakin dirasai dan sudah pastinya lahar yang bakal dimuntahkan bakal menghancurkan seluruh hidupan yang berada di bawahnya dan membunuh segala binatang berbisa, haiwan pemangsa, ular dan segala katak yang selama ini berselindung di bawah pohon yang rendang.

Namun apa yang pasti, sekiranya bibir gunung berapi itu retak tiga belah, sudah pasti lahar yang keluar, tidak mampu menenggelamkan perkampungan yang dilindungi oleh benteng dan tembok besar kerana laharnya mengalir tiga bahagian; melainkan ada seekor naga yang menutup satu bibir gunung, membuka bibir yang dalam di bahagian bibir sebelah yang menghala ke perkampungan bertembok dan membiarkan dirinya tededah dengan bahang panas yang amat memedihkan; dan membolehkan lahar itu mengalir ke bibir yang menghala ke perkampungan yang ditutupi oleh tembok besar.

Tapi masih wujudkan perasaan sang naga seperti ini? Gunung berapi hanya tahu memuntahkan laharnya dan tidak tahu ia akan mengalir ke mana dan seharusnya naga ini perlu membantu walaupun sakit dan pedih rasanya berada di bahang lahar yang panas.

Seandainya naga ini memang berjiwa rakyat; faham akan hak rakyat; mengerti akan kehendak rakyat, mengapa tidak STAR bekerjasama dengan PR untuk sama-sama berganding bahu membawa suara rakyat Sabah dan sama-sama membantu rakyat Sabah kerana jelas, STAR pada akhirnya akan berkerjasama dengan parti dari Semenanjung, seandainya menang kelak.

Keegoan pemimpin akan menjadi batu penghalang kepada kehendak rakyat. Keegoan Pemimpin akan menjadi satu malapetaka buat seluruh rakyat Sabah. Keegoan pemimpin akan menghancurkan masa depan rakyat Sabah. Ni Kali lah!. Jangan sampai sejarah PRU 12, berulang di Sabah dengan 9 kerusi adun terlepas begitu sahaja atas keegoan pemimpin.

No comments:

Post a Comment