Tuesday 2 October 2012

KELEWATAN PEMBENTANGAN PERKARA BIASA




KUANTAN: Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata pihaknya tiada apa-apa yang hendak disembunyikan berhubung kelewatan pembentangan Laporan Audit Ketua Audit Negara 2011.

Beliau berkata kelewatan itu adalah sesuatu yang biasa memandangkan Laporan Audit Ketua Audit Negara 2010 dibentangkan dua minggu selepas pembentangan Belanjawan 2012, pada tahun lepas.

Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz juga meminta pihaknya memberikan sedikit masa bagi membolehkan ruang perbahasan yang lebih panjang diadakan supaya pembentangan laporan audit tidak mencuri tumpuan Belanjawan 2013.

“Kita tidak selindungkan apa-apa, tahun lepas pun kita hanya bentangkan laporan audit selepas dua minggu pembentangan belanjawan, kali ini Nazri meminta Jabatan Audit Negara memberikan sedikit masa untuk pihaknya,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Hari Audit Se-Malaysia dan Persidangan Juruaudit Sektor Awam 2012 di sini, hari ini.

Ia disempurnakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob. Baru-baru ini, Mohamed Nazri berkata Laporan Audit Ketua Audit Negara 2011 akan dikeluarkan seminggu selepas pembentangan Belanjawan 2013.

Mohamed Nazri berkata ia membolehkan ruang perbahasan yang lebih panjang diadakan supaya pembentangan laporan audit tidak mencuri tumpuan belanjawan selain memberi peluang kepada anggota-anggota Dewan membincangkan dan memberikan lebih fokus tentang kedua-dua perkara itu (pembentangan belanjawan dan laporan audit).

Dalam perkembangan lain, Ambrin berkata mana-mana pihak yang terlibat dalam menyalurkan bantuan segera kepada mangsa yang ditimpa bencana atau peristiwa luar jangka seperti banjir perlu memahami dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Audit Negara.

Menurutnya pihaknya sentiasa fleksibel dan memahami bantuan segera perlu disalurkan kepada mereka yang terlibat dengan sesuatu bencana atau peristiwa luar jangka.

“Kalau ada sesuatu peristiwa di luar jangkaan berlaku, kita kena fleksibel tetapi orang atau pegawai yang terlibat kena faham SOP di mana mesti ada pernyataan atau rekod apa yang berlaku, jadi kita tahu dari mana duit itu datang dan pergi,” katanya.

Sebelum itu, dalam ucapan perasmiannya, Adnan berkata pihaknya berkemungkinan tidak dapat mengikut sepenuhnya peraturan yang ditetapkan Jabatan Audit Negara terutama jika berlaku sesuatu bencana yang memerlukan bantuan segera disalurkan.

“Contohnya, dalam keadaan bencana seperti banjir, kita tidak pasti sama ada dapat ikut semua peraturan yang ditetapkan atau tidak dan saya harap Jabatan Audit Negara dapat melihat perkara ini kerana apa yang penting bagi kita adalah bantuan segera kepada mereka yang terlibat dengan bencana,” katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment