Sunday 14 October 2012

KEMERDEKAAN INI AMAT BERNILAI





Saudara Pengarang,

ARTIKEL Sabahkini.net bertajuk 'Bernilaikah Sebuah Kemerdekaan?' telah menimbulkan pelbagai kontroversi setelah isu sebenar disensasikan oleh penulis surat berkenaan, namun yakinlah bahawa kemerdekaan ini amat bernilai kerana pelbagai usaha sedang dilakukan untuk menaiktaraf segala kemudahan yang ada.

Sukacitanya saya ingin memberi respon terhadap isu gambar rumah murid yang daif seperti kandang kambing. Untuk makluman tuan, gambar tersebut merupakan gambar yang saya ambil pada bulan April 2012 untuk dokumentasi aktiviti rutin lawatan saya ke rumah murid.

Pada 11 September 2012, saya telah mengunjungi sekali lagi rumah murid berkenaan dan mendapati keluarga ini telah berpindah ke rumah papan yang baharu manakala rumah 'lama' sudah dirobohkan.

Saya berharap isu ini tidak disensasikan oleh mana-mana pihak berkepentingan dan atas dasar memartabatkan integriti kewartawanan yang telus dan bertanggung jawab.

Izinkan saya menjawab beberapa perkara yang telah diterbitkan dalam artikel berkenaan terutama keperitan murid thalasemia yang terpaksa berjalan kaki 2 kilometer dari rumah untuk ke jalan besar dan menambang sejauh 10 kilometer ke sekolah dengan tambang RM12 sehari.

Faktor kewangan, jarak rumah yang jauh dari sekolah dan masalah pengangkutan bukanlah bidang kuasa saya. Bagaimanapun, ibubapa murid ini telah menulis surat kebenaran khas tidak dapat hadir ke sekolah beberapa hari dalam seminggu kepada saya dan saya tiada masalah memberi kebenaran tersebut supaya ibubapa murid ini hanya menghantar anak mereka ke sekolah jika kesihatan murid ini mengizinkan.
Bagi murid lain yang jauh, saya mengharapkan komitmen ibubapa menghantar anak ke sekolah menggunakan Elaun Murid Khas (EMK) RM1,800 setahun/RM150 sebulan yang dijangka masuk pada awal November 2012 bagi fasa ke 2. EMK fasa pertama telah masuk ke akaun BSN murid pada Jun 2012.

Berhubung isu bangunan kelas pendidikan khas SK Matunggong yang usang dan tidak mesra OKU, permohonan membina bangunan baharu telah dipanjangkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia dan projek ini menjadi keutamaan Jabatan Pelajaran Sabah.

Isu keperluan pembinaan asrama desa mesra OKU, saya akan memanjangkan perkara ini untuk perhatian PPD Kudat dan Sektor Pendidikan Swasta & Pendidikan Khas Jabatan Pelajaran Sabah pada 15 Oktober 2012 (Isnin).

Untuk makluman tuan, SK Matunggong Kudat telah mendapat peruntukan NGO membina asrama desa murid normal. Jika asrama desa ini sudah siap, saya akan berbincang dengan Guru Besar dan pentadbir sekolah untuk memohon kuota murid pendidikan khas sebagai penempatan sementara di asrama desa ini.

Berkenaan isu keperluan membuka kelas pendidikan khas di Sekolah Menengah, secara peribadi saya mengakui memang wujud keperluan  kritikal pada 2014. Murid pendidikan khas SMK terpaksa ke Bandar Kudat setiap hari yang jaraknya 80 kilometer pulang balik. Bagaimanapun, saya menyerahkan perkara ini melalui kebijaksanaan Jabatan Pelajaran Sabah kerana saya menyedari tentang kekangan kewangan dan bekalan guru yang terhad.

Salam Hormat dan Harap Maklum.


MOHD HISYAMMIEDDY BIN ESA
Penyelaras Program Pendidikan Khas Integrasi,
SK Matunggong Kudat

No comments:

Post a Comment