Tuesday 2 October 2012

KENAPA AKU DIHARAMKAN KE SARAWAK?




Oleh : FAHMI REZA

PESAWAT aku tiba di Lapangan Terbang Kuching dari Kota Kinabalu pada jam 9:15 pagi 24 September 2012. Setiba di Check-Point Imigresen, IC aku telah ditahan dan aku diminta untuk mengikut Pegawai Imigresen yang bertugas ke Pejabat Imigresen.

Foto di atas diambil di Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Kuching selepas aku ditahan dari memasuki Sarawak dan diserahkan Notis Penolakan masuk oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Sarawak.

Berikut adalah rakaman perbualan aku dengan Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Sarawak, Norhayati di pejabatnya pada jam 11:30 pagi 24 September 2012 lalu.

NORHAYATI: Jabatan Ketua Menteri mengatakan yang encik ini tidak dibenarkan masuk ke Sarawak.

FAHMI REZA: Sebab apa?

NORHAYATI: Itu kamu kena berhubung dengan sana lah.

FAHMI REZA: Dia tak tulis kenapa? Dia hanya tulis nama saya dalam senarai syak?

NORHAYATI: Dalam senarai syak arahan dari Jabatan Ketua Menteri Sarawak. Tentang kenapa tidak boleh masuk itu saya tidak mengetahui lah.

FAHMI REZA: Boleh saya tahu sejak bila?

NORHAYATI: Sejak 12 April 2011. Menerima arahan dari JKM untuk kemasukan kitak di sini lah. Jadi arahan dia begini, tolak kemudahan masuk dan saya kena laporkan ke Bahagian Keselamatan lah. Saya ini menerima arahan saja.

FAHMI REZA: Pn. Norhayati bawah Imigresen?

NORHAYATI: Ya, saya bawah imigresen. Imigresen menerima arahan dari sana. Faham?

FAHMI REZA: Sejak 12 April 2011? Dia ada cakap berapa lama?

NORHAYATI: Tak tahu lah berapa lama dia cakap. Selagi nama tu masih di sana, selagi itulah...

FAHMI REZA: Jadi macam mana saya nak check?

NORHAYATI: Encik boleh berhubung dengan Bahagian Keselamatan di Sarawak ini lah. Kena berhubung di sana. Nombor telefon 245661 extention to Bahagian Keselamatan Kuching. Saya rasa Bahagian Keselamatan pun mengikut arahan jugak. Kami di bahagian pintu masuk ni, terima arahan lah, listed memang tidak boleh masuk. Kenapa ada apa-apa yang mahu share dengan saya kah?

FAHMI REZA: Saya nak tahu kenapa saya tak dibenarkan masuk, itu saja. Ini first time saya datang Sarawak. Rancang nak jalan-jalan di Sabah & Sarawak. Baru pergi KK (Kota Kinabalu) tujuh hari...

NORHAYATI: KK dapat masuk lah?

FAHMI REZA: KK tak ada apa-apa masalah. Saya terkejut sebab sejak April 2011 lagi saya dilarang masuk Sarawak. Sekarang dah September 2012.

NORHAYATI: Ini adalah notis arahan yang tidak membenarkan kitak masuk bawah Seksyen 65(1). Ini salinan untuk kitak.

NORHAYATI: Kami ni hanya menerima arahan saja. Yang selebihnya kena berurusan dengan Jabatan Ketua Menteri lah. Arahan tu dari sana lah. JKM Sarawak. Okay Fahmi. Fahmi kah nama tu? Masih belajar kah?

FAHMI REZA: Tak, sudah bekerja.

NORHAYATI: Kerja mana?

FAHMI REZA: Kerja sendiri. Buat kerja graphic design.

NORHAYATI: Okay lah.

FAHMI REZA: Okay lah. Tak ada apa saya boleh buat kan? Bukan boleh saya merayu ke apa?

NORHAYATI: Saya pun tidak boleh apa-apa buat. Merayu dengan saya pun tidak guna juga. Saya menerima arahan dari sana saja. You cakap sama lawyer nanti, merayu dengan saya pun tiada guna juga. Kalau arahan dari sana cakap boleh masuk baru boleh masuk. Itu saja.

Selepas 3 jam ditahan di airport, aku kemudian telah di 'escort' oleh tiga pegawai imigresen beruniform sehingga ke tangga pintu masuk pesawat AirAsia yang membawa aku pulang ke KL dari Kuching pada jam 12:15 tengahari.

Inilah pengalaman aku pertama kali hendak menjejakkan kaki di bumi Sarawak, terus dideportasi keluar dari Sarawak tanpa diberi sebarang sebab atau penjelasan.

No comments:

Post a Comment