Wednesday 17 October 2012

KEPIMPINAN M’SIA TERSERLAH DI RANTAU INI






KONFLIK.....Bukan perkara mudah untuk sesebuah negara itu menjadi pemudah cara dalam konflik sebegini panjang dan Malaysia berjaya dalam hal ini.

Oleh : R RAVICHANDRAN

MANILA: Kepimpinan Malaysia terserlah di rantau ini kerana negara dapat menyumbang kepada keamanan dan kesejahteraan terutama bagi Bangsamoro dan kawasan selatan Filipina, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro yang ditandatangani antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) semalam, susulan peranan fasilitator Malaysia sejak 2001 yang berjaya membuka lembaran baru bagi masa depan Bangsamoro di selatan Filipina, yang turut memberi kesan lebih positif dalam konteks hubungan dua hala Kuala Lumpur-Manila.

Namun Najib berkata bukanlah perkara mudah untuk sesebuah negara itu menjadi pemudah cara dalam konflik sebegini panjang dan Malaysia berjaya dalam hal ini sehingga mendapat pujian dan penghargaan tinggi dari Presiden Benigno Aquino III dan kerajaan Filipina.

“Kalau dua orang bergaduh biasanya tak boleh duduk semeja, jika ada dua pihak terbabit dalam konflik, mereka tidak boleh duduk keliling meja untuk mula bercakap dan berunding…melainkan ada pihak ketiga untuk memudahkan perkara itu. Pihak ketiga ini bukan sebarangan, tidak boleh sebarangan orang dan mesti berwibawa.

“Menggunakan istilah Aquino (Presiden Benigno Aquino III), kita berjaya menjadi ‘honest broker’ (broker yang jujur) antara kerajaan Filipina dan MILF sehingga kerangka perjanjian yang ditandatangani di Malacanang jadi realiti,” katanya berucap di Majlis Mesra Bersama Rakyat Malaysia, di sini, malam tadi.

Najib berkata beliau tidak fikir Malaysia akan dipilih sebagai fasilitator sekiranya negara ini bukan sebuah negara harmoni dan yang berjaya dalam pebagai segi walaupun mempunyai penduduk pelbagai bangsa.

Perdana Menteri berkata memandangkan negara dalam keadaan aman dan stabil begitu lama, maka rakyat Malaysia dapat menikmati manfaat daripada keamanan ini.

“Tapi kita dipercayai sebagai sebuah negara sebab kita berjaya sebagai sebuah negara. Saya tidak fikir kedua-dua pihak nak kita sebagai fasilitator kalau kita sebuah negara yang bergolak contohnya. Jika Malaysia dalam konflik, kalau kita bukan contoh negara harmoni dalam soal kepelbagaian,” katanya.

Masyarakat yang kompleks

Katanya Malaysia juga berjaya menguruskan sebuah masyarakat yang kompleks dan menjadikan itu sebagai satu kelebihan membangunkannya sebagai sebuah negara yang berjaya.

“Saya fikir rakyat mempercayainya, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di luar Malaysia. Mereka percaya bahawa satu hari nanti Malaysia akan jadi sebuah negara maju. Saya fikir itu memberi kita banyak kredibiliti. Orang tahu, Insya-Allah, mereka yang berada di Filipina…(dan) di luar Malaysia tahu kita berada pada landasan untuk menjadi sebuah negara maju. Hanya pihak-pihak tertentu yang menafikannya, tapi majoritinya tahu,” katanya.

Katanya dengan termeterai perjanjian ini, kerajaan Filipina juga berminat Malaysia memainkan peranan lain seperti melatih rakyatnya dan membangunkan rancangan tanah seperti Felda di Malaysia.

Menurutnya Filipina memiliki seorang presiden yang mempunyai keinginan mencari resolusi secara aman untuk konflik ini dan ini turut membolehkan perjanjian tersebut menjadi kenyataan.

Perdana Menteri berkata konflik di selatan Filipina hampir 40 tahun itu telah meragut hampir 150,000 nyawa yang disifatkannya begitu besar dan ini tidak termasuk dari segi kerosakan harta benda dan kesan dari segi kemunduran.

“Oleh itu, keperitan hidup, kesengsaraan Bangsamoro begitu besar dan kesan kepada kerajaan Filipina yang terpaksa berbelanja besar menghadapi konflik itu,” katanya

Pada pengamatan saya, yang boleh diingat kembali (ketika) lawat Cotabato (di Mindanao) pada 2004, nampak macam Malaya pada 50-an. Datuk Zahid (Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) pergi baru-baru ni, dapat gambaran juga. Semua itu memberi kita satu gambaran bahawa konflik yang begitu lama yang melanda kawasan itu kesudahannya dapat kita cari titik pertemuan,” katanya.

Majlis itu dihadiri lebih 150 rakyat Malaysia di Filipina, antaranya ahli perniagaan, para pelajar, petugas kedutaan Malaysia serta anggota keluarga mereka. (Bernama)

No comments:

Post a Comment