Monday 8 October 2012

KERAJAAN BN TERUS BELA E-KASIH







Oleh : RIDZAL ABDULLAH

LAHAD DATU : Golongan yang tersenarai di dalam Program e-Kasih sentiasa diberikan perhatian daripada pihak kerajaan dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan transformasi ekonmi luar bandar.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur berkata kerajaan BN tidak pernah memandang sebelah mata kepada golongan berpendapatan rendah.

"Ini terbukti dengan pelbagai skim bantuan dan kursus-kursus kemahiran serta bantuan kewangan kepada mereka yang serius untuk memajukan diri dan keluarga mereka dalam apa jua bidang berpotensi yang mereka hajati,” ucap beliau semasa Majlis Perasmian dan Penutupan Kursus Seni Kreatif Jahitan 1 Azam bagi daerah Lahad Datu, Tungku, Kunak dan Semporna, di Dewan Arena Belia Kementerian Belia dan Sukan (KBSS) Lahad Datu, kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lahad Datu itu juga memberi contoh kursus yang dianjurkan oleh KBSS ini memberi ruang dan peluang kepada golongan ibu tunggal ataupun anak-anak keluarga yang tersenarai dalam e-Kasih untuk mendapat bimbingan bagi menambah kemahiran dalam bidang seni jahitan kreatif.

Nasrun yang juga Ketua Umno Bahagian Silam menegaskan, tiada kerajaan sebaik yang diterajui Barisan Nasional (BN), ini kerana golongan berpendapatan rendah diberikan latihan percuma, elaun, sijil dan juga bantuan mesin serta modal untuk merubah nasib daripada miskin kepada lebih berkemampuan.

"Peserta-peserta lihat sendiri, selesai kursus terus diberikan mesin jahit untuk memulakan perusahaan. Peluang dan ruang telah diberikan kepada kita, permintaan terhadap baju tempahan seperti baju perayaan dan korporat sangat tinggi pada ketika ini," kata Nasrun yang menjelaskan daerah ini mempunyai penduduk yang padat akibat kepesatan pembangunan dari segenap bidang, seperti perindustrian, perladangan dan juga perhotelan.

Kata Nasrun, beliau berharap agar kursus sebegini akan diteruskan lagi di masa akan datang dan kementerian lain mengambil contoh langkah KBSS untuk membantu golongan e-Kasih dengan memberi mereka peluang untuk mengubah nasib mereka.

Dalam pada itu, salah seorang wakil dan juga penghulu bagi peserta, Hamidah Datu Mabbul, 42 yang berasal daripada Pulau Tambisan, Tungku berkata, beliau amat bersyukur dengan bantuan dan bimbingan pihak kerajaan telah memberi semangat baru kepada beliau.

"Saya ibu tunggal anak satu, kini menetap di rumah PPRT Mini Estet Sejahtera (Mesej) Nala Tungku. Saya masih mencari sumber pendapatan tambahan bagi menampung keperluan diri dan anak. Dengan adanya kursus sebegini, saya dapat memperbaiki teknik menjahit saya dan mendapat tauliah untuk memulakan perusahaan saya sendiri nanti. Terima kasih saya ucapkan kepada pihak kerajaan melalui KBSS,” kata Hamidah.

Kursus anjuran KBSS daerah Lahah Datu dan Tawau ini mengambil masa selama 20 hari bermula dari 19 September lalu disertai oleh perserta dari daerah Tungku, Lahad Datu, Semporna dan Kunak.

Hadir sama, Pegawai KBSS Bahagian Tawau/Daerah Lahad Datu, Jamil Jilap, Penolong Timbalan Setiausaha Tetap KBSS, Aidah Awang, Pengerusi-pengerusi Gabungan Belia 3D dan Ketua Pergerakan Puteri Umno Silam, Mizma Appehdullah.

No comments:

Post a Comment