Tuesday 16 October 2012

KES BUNUH KARTINI, BICARA JANUARI 2013






KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini menjadualkan semula perbicaraan ke atas seorang anggota polis berpangkat inspektor dari Perak yang didakwa membunuh seorang wanita Sabah tahun lepas kepada 7-11 Januari tahun depan.

Hakim Datuk David Wong Dak Wah menetapkan perbicaraan ke atas Ahmad Rizal Umar, 29, apabila kesnya dibacakan di hadapan hakim itu kelmarin sehingga menunggu siasatan surat dari kakak tertuduh.

Rizal didakwa membunuh seorang ibu tunggal Kartini Borhan, 27, di sebuah rumah di Taman Adika, Keningau pada 29 Sept 2011, antara jam 4 pagi dan 5 pagi.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Kesiksaan yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Kes ini kali pertama dibawa ke mahkamah pada 15 Mei tahun ini dan perbicaraan ditetapkan pada 28-30 Nov tahun ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Jamil Aripin memberitahu mahkamah beliau menerima surat dari kakak Rizal yang menyatakan ‘seseorang; yang berada di dalam penjara memaklumkan Rizal bahawa terdapat ‘seorang’ yang didakwa melakukan pembunuhan terhadap mangsa.

Jamil berkata, pendakwaan telah merekodkan kenyataan ‘seseorang’ tetapi polis tidak dapat mengenal pasti ‘orang’ yang didakwa melakukan kesalahan itu.

Jamil juga memberitahu mahkamah forensik patologi, Dr Jessie Hiu juga mahu mendapatkan seorang pakar lain untuk memeriksa tikaman kecederaan di belakang tertuduh untuk memberikan pendapat sama ada kecederaan itu akibat tikaman sendiri atau sebaliknya.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya itu pakar itu hanya akan datang pada 24 Okt, jadi mereka perlu membuat lebih banyak persiapan.

Rizal yang diwakili oleh peguam Ram Singh buat masa ini ditahan di bawah Seksyen 259 Kanun Kesiksaan Jenayah sehingga kesnya selesai dibicarakan.

No comments:

Post a Comment