Wednesday 31 October 2012

LIGS UNTUNG LEBIH RM40 JUTA





KOTA KINABALU: Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) berjaya menjana keuntungan melebihi RM40 juta pada tahun lalu dan dijangka akan terus meningkat menjelang hujung tahun ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, dalam dua tahun yang lalu LIGS menghadapi masalah kewangan yang kritikal akibat kerugian beratus juta ringgit berpunca daripada kepimpinan yang tidak mantap dan perancangan yang tidak strategik sehingga LIGS berhutang dengan pekebun-pekebun kecil getah dan agen-agen getah.

Bagaimanapun dengan tindakan tegas kerajaan menyusun semula kepimpinan Lembaga Pengarah dan pengurusan LIGS serta bantuan kewangan berjumlah RM60 juta, LIGS kini telah pulih semula dan berada dilandaskan yang betul.

“Kerajaan negeri khususnya Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mengambil perhatian serius ke atas perjalanan LIGS dan ingin melihat LIGS menjadi agensi kerajaan yang berwibawa dan menjadi pemangkin kepada peningkatan taraf hidup para pekebun kecil getah khususnya dan kemajuan industri getah di negeri ini amnya.

“Oleh itu, antara perkara penting untuk memastikan sesebuah agensi itu berada di landasan yang betul ialah perlu ada kepimpinan yang mantap dan berwibawa di peringkat Lembaga Pengarah.

“Selain itu pengurusan yang cekap dan berintegriti tinggi juga merupakan pra-syarat bagi sesebuah agensi dapat beroperasi secara berdaya maju dan pengurusan atasan yang ada sekarang telah membuktikan bahawa mereka mampu mengendali pengurusan LIGS secara cekap dan berdaya untung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Watikah Pelantikan Timbalan Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Industri Getah, di Bilik Mesyuarat Utama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Wisma Pertanian, di sini, kelmarin.

Pada majlis Datuk A.K. Aliuddin Datuk Pg. Haji Mohd. Tahir yang dilantik semula sebagai Timbalan Pengerusi. Manakala tiga muka baru dilantik sebagai Ahli Lembaga baru iaitu Baintin Adun Abd.Halim, Juriah Palasin dan Webley Disim. Empat muka lama yang masih kekal ialah Mohd.Gasing Haji Saling, Anthony Liaw, Edmond Lo Joannes dan Sumita Hassan.

Empat lagi ex-officio yang turut duduk dalam lembaga pengarah ialah Setiausaha Tetap MAFI, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri, Pengarah Pertanian dan Pengurus Besar LIGS.

Turut hadir Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Datuk Bobbey A. Suan, Setiausaha Tetap MAFI, Datuk Ujang Sulani, Pengerusi LIGS Haji Ahmad Haji Bujang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin dan Pengurus Besar LIGS, Datuk Harris Mathews.

Yahya menegaskan, pihak pengurusan atasan LIGS hendaklah sentiasa melaksana tugas dan tanggungjawab secara cekap, professional dan berintegriti tinggi untuk memastikan kejadian lalu tidak berulang.

“Lembaga Pengarah hendaklah sentiasa memberi pimpinan yang berwibawa dan tidak dipengaruhi oleh faktor-faktor yang boleh menjejaskan daya maju LIGS,” katanya.

Beliau berkata bagi memperbaiki pentadbiran urusan LIGS, dua pindaan undang-undang berkaitan LIGS telah dikemukakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini iaitu pindaan Enakmen LIGS (Bil No. 25 Tahun 1981 dan Ordinan Tabung Tanam Semula Industri Getah 1954 (Sabah CAP 170). (NST)

No comments:

Post a Comment