Friday 19 October 2012

LOKASI TANAH SESUAI UNTUK PR1MA





KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah akan mengenal pasti lokasi sesuai untuk projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang bakal memberi manfaat kepada penduduk berpendapatan sederhana di negeri itu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Hajiji Noor berkata buat masa ini, perbincangan mengenai lokasi sedang dilaksana membabitkan tanah milik kerajaan negeri dan agensi di bawahnya.

Kerajaan negeri akan kenal pasti tanah yang sesuai dan tidak dibangunkan sebelum dibawa ke kerajaan pusat untuk projek PR1MA, katanya di sini kelmarin.

Hajiji berkata beliau juga telah menemui Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Datuk Abdul Mutalib Alias bagi membincangkan perkara tersebut.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kudat Ahad lepas yang berkata PR1MA akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah bagi menentukan lokasi pembinaan rumah mampu milik di seluruh negeri Sabah untuk memenuhi permintaan rumah bagi rakyat di negeri ini.

PR1MA ialah program kerajaan untuk menggalakkan pemilikan rumah terutama dalam kalangan mereka yang berpendapatan sederhana dengan menyediakan hartanah kediaman mampu milik di bandar-bandar utama negara.

Pada pembentangan Belanjawan 2013, Najib mengumumkan sebanyak RM500 juta akan dibelanjakan PR1MA untuk membina 50,000 unit rumah di bandar utama di seluruh negara dengan harga jualan antara RM100,000 dan RM400,000 seunit.

Sementara itu, Hajiji yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sulaman, menyambut baik pembinaan jalan pesisir menghubungkan Tuaran, Kota Marudu hingga Kudat dan pengwujudan Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di daerah tersebut, bersesuaian kedudukannya yang bersempadan dengan Pulau Palawan, selatan Filipina.

“Saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri dengan pembinaan jalan pesisir itu kerana ia bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduk setempat bahkan kepada penduduk di daerah berhampiran iaitu Pitas, Kota Marudu, dan Kota Belud selain dapat membuka peluang perniagaan baru di sepanjang jalan itu,” katanya.

Hajiji berkata pembangunan CIQ itu pula akan mengeratkan lagi hubungan dagang antara Sabah dan Filipina.

No comments:

Post a Comment