Thursday 18 October 2012

MALAYSIA CAPAI STATUS NEGARA TUA 2030





Oleh : MD IZWAN

SAMBUT....Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Sambutan Hari Warga Emas di Hotel Palace of Golden Horses.

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata Malaysia perlu bersiap-sedia sebelum mencapai status negara tua yang dijangkakan pada tahun 2030 nanti apabila mencecah kadar 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Berucap sempena sambutan Hari Warga Emas di Hotel Palace of the Golden Horses, PM berkata atas faktor tersebut kerajaan telah mengambil pelbagai pendekatan untuk menyiapkan negara bagi berhadapan dengan cabaran tersebut.

Antara pendekatan tersebut ialah dengan menggubal umur persaraan bagi kakitangan awam dan swasta, penggubalan Peraturan Kerja (pekerja separa masa) dan menerusi pemberian bantuan dan insentif seperti pembentangan Bajet 2013.

"Sebagai persediaan, kerajaan telah meningkatkan umur persaraan bagi penjawat awam daripada 58 kepada 60, menggubal Akta Umur Persaraan Minimum 2012 untuk pekerja swasta," kata Najib.

"Apabila umur persaraan ini dipanjangkan, negara akan mendapat manfaat yang banyak. Terutamanya daripada segi pengetahuan dan pengalaman daripada mereka."

Menurut Najib lagi, ketika ini warga emas di Malaysia adalah seramai 2.2 juta orang atau 7.7 peratus daripada 28.3 juta penduduk Malaysia.

Najib juga menekankan bahawa warga emas sebagai golongan yang tidak wajar dilupakan dan berperanan penting dalam pembangunan negara.

"Seperti kata pepatah warga emas terlebih dulu makan garam, golongan warga emas memiliki pengalaman, kemahiran, ilmu, buah fikiran dan yang paling sekali kebijaksanaan atau wisdom.

"Jasa warga emas akan sentiasa dikenang," tambah Najib.

Di samping itu, Najib berkata keprihatinan kerajaan yang tidak pernah melupakan warga emas boleh dilihat  menerusi pemberian bantuan dan insentif semasa membentang Bajet 2013 yang lalu.

"Dalam bajet lalu yang bersifat mesra warga emas, kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM12.5 bilion bagi membiayai pemberian ganjaran atau saraan kepada pesara kerajaan.

"Selain itu, kerajaan juga memperkenalkan Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA pada tahun lalu bagi memastikan tiada kelompok rakyat termasuk warga emas tercicir daripada menikmati faedah pembangunan dan kemakmuran negara," katanya lagi.

Dalam pada itu, PM turut menggesa golongan warga emas untuk menceburkan diri dalam koperasi dengan memanfaatkan penyediaan peruntukan berbentuk geran dan pinjaman berjumlah RM80 ribu yang boleh diperoleh menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Dalam majlis sama, Najib juga mencadangkan kepada pihak pemaju perumahan menyediakan pusat aktiviti warga emas dalam projek-projek perumahan mereka yang baru.

"Satu prasarana yang memerlukan perhatian khusus ialah penubuhan pusat aktiviti bagi warga emas secara lebih meluas dalam komuniti setempat.

"Maka adalah wajar supaya projek-projek perumahan baru menyediakan pusat aktiviti warga emas, sama seperti keperluan untuk menyediakan kemudahan taska dan tadika," kata Najib.

Dalam majlis yang bertemakan "Warga Emas Produktif: Melakar Masa Depan" itu turut dihadiri isteri PM, Datin Seri Rosmah Mansor dan timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Datuk Heng Seai Kie.

No comments:

Post a Comment