Friday 5 October 2012

MARIN RAMPAS DIESEL BERSUBSIDI






UBAHSUAI.....Salah seorang anggota Marin menunjukkan lori yang telah diubahsuai yang ditemui dalam operasi itu.

TAWAU: Bertindak atas maklumat, sepasukan polis Marin berjaya menemui lebih 5,600 liter minyak Diesel bersubsidi bernilai lebih RM40,000 di salah sebuah premis yang disyaki beroperasi tanpa permit di sini.


Pemangku Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Tawau, AWSP Krishnan A/L Ramasamy berkata tangkapan dibuat kira-kira jam 5.50 petang kelmarin di Taman King Fook, Jalan Utara di sini.

“Pemeriksaan awal telah dijalankan di luar kawasan premis itu dan telah menemui sebuah lori tangki berwarna hijau yang telah diubahsuai berisi lebih kurang 4,000 liter minyak Diesel,” katanya.

Katanya, seorang lelaki tempatan berumur 26 tahun dipercayai pekerja di premis itu telah ditahan ekoran penemuan itu.

Pemeriksaan lanjut, tambah Ramasamy, telah menemui lapan dram berisi 1,600 liter minyak diesel, 20 dram kosong, dua unit pam dan empat unit hos yang digunakan untuk kerja pemindahan minyak diesel.

“Premis ini disyaki digunakan sebagai tempat penyimpanan dan pengumpulan minyak diesel bersubsidi yang dibeli dari stesen-stesen minyak sekitar bandar Tawau,” katanya.

Pihaknya turut mendapati premis berkenaan beroperasi tanpa memiliki sebarang permit dan kebenaran dari pihak yang berkenaan. (UB)


No comments:

Post a Comment