Saturday 13 October 2012

MASIH BERNILAIKAH SEBUAH KEMERDEKAAN?






DAIF.....Mungkin ini tidak layak digelar kandang kambing, tetapi inilah hakikat yang terpaksa diterima oleh Harexson, salah seorang murid yang tinggal bersama keluarganya  di Kampung Radtak, Pinawantai.

Saudara Pengarang,

MUNGKIN anda yang tinggal di bandar tidak tersentuh hati apabila terpaksa berkerusi roda seratus meter untuk menunggu bas sebelum ke sekolah kerana semua kemudahan tersedia. Namun bagi saya yang saban hari melihat seorang kanak-kanak sekolah, Alexion yang mengidap Thalassemia yang terpaksa berjalan kaki sejauh 2 kilometer dari rumahnya sebelum menumpang bas sejauh 10 kilometer, jiwa saya merintih kesal kerana rupanya masih ada rakyat yang menderita setelah lebih 49 tahun Sabah merdeka.
Saya mewakili rakyat DUN Matunggong dan Parlimen Kota Marudu, dengan penuh hormatnya mengalu-alukan keprihatian wakil rakyat kami agar membantu melonjakkan kecemerlangan pendemokrasian pendidikan kepada semua lapisan masyarakat termasuk murid istimewa (OKU).

Sebagai pengundi dan pembayar cukai, saya kecewa kerana kebajikan dan keselesaan murid berkeperluan khas ini jelas sekali terdedah kepada bahaya implikasi bangunan kelas yang tidak mesra OKU dan berbahaya untuk keselamatan murid.




HARAPAN.....Ini bukanlah rumah Alexion, tapi rumah Budaya KDCA yang sewajarnya boleh digunakan sebagai asrama sementara untuk mereka yang kurang bernasib baik sepertinya.




JALAN.....Alexion terpaksa berjalan kaki sejauh 2 kilometer untuk ke jalan besar sebelum menumpang bas sejauh 10 kilometer sebelum sampai ke sekolahnya.

Menurut tinjauan saya, hanya SK Matunggong yang menawarkan pendidikan istimewa ini di kawasan Luar Bandar Kudat. Murid OKU yang jauh seperti dari Kg Parapat, Kg Tinangol, Kg Pinawantai dan Kg Penudahan ini juga terpaksa berhadapan masalah pengangkutan dan kewangan untuk hadir ke sekolah.

Apakah perasaan anda menyelami keperitan seorang murid Thalasemia (OKU), Alexion dari Kg Bonduk Parapat ini perlu berjalan kaki sejauh 2 kilometer dari rumah untuk ke jalan besar dan membayar tambang bas RM12 sehari?

Mungkin sudah tiba masanya pihak bertanggungjawab seperti Kementerian Pelajaran Malaysia, wakil rakyat dan NGO melakukan sesuatu yang menggembirakan golongan yang amat memerlukan ini seperti pembinaan asrama desa mesra OKU dan bangunan kelas konkrit berpagar untuk keselesaan pembelajaran murid.

Matunggong terletak 40 kilometer dari Bandar Kudat memerlukan penubuhan sekolah pendidikan khas untuk pelajar sekolah menengah. Bantulah mereka untuk menjayakan NKRA 1Malaysia.

Salam Hormat,

AKI KULINDOD

No comments:

Post a Comment