Monday 15 October 2012

MINDANAO BAKAL NIKMATI KEAMANAN KEKAL






MANILA: Ketika berjuta-juta rakyat Filipina meletakkan harapan tinggi daripada majlis menandatangani Perjanjian Rangka Tindakan antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang penuh bersejarah di sini hari ini, Mindanao, yang terletak di selatan Filipina, bakal menikmati keamanan dan kestabilan berkekalan setelah dilanda konflik berdarah selama hampir 40 tahun.

Kemunculan fajar baharu di selatan Filipina melalui perjanjian ini sebenarnya adalah hasil daripada peranan konstruktif dan bermakna Kuala Lumpur, yang menjadi pemudah cara dan tuan rumah rundingan yang diadakan sejak 2001 antara Manila dan MILF.

Perjanjian berkenaan menjadi titik permulaan bagi pelaksanaan rangka tindakan ke arah mewujudkan sebuah wilayah autonomi di selatan Filipina sebelum berakhirnya penggal semasa pentadbiran presiden sekarang pada 2016, yang memberi kuasa politik lebih besar dan kawalan terhadap sumber alam kepada wilayah majoriti umat Islam itu.

Sesungguhnya, kerajaan dan rakyat Filipina, khususnya di Mindanao, telah melalui perjalanan yang amat panjang serta penuh ranjau dan duri sebelum sampai ke peringkat proses damai yang amat penting dan bersejarah ini.

Perjanjian berkenaan membuka lembaran baharu bagi keamanan dan menyumbang bukan saja kepada perdamaian serta kestabilan di selatan Filipina, tetapi juga bagi keamanan serta keselamatan menyeluruh di Asia Tenggara kerana Mindanao dianggap sebagai tapak semaian bagi kegiatan keganasan di beberapa negara di rantau ini.

Peranan Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diterima secara positif dan disanjung tinggi bukan saja oleh Manila, tetapi juga oleh para penganalisis dan pemerhati politik.

Wahabuddin Ra’ees, profesor sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata perjanjian tersebut perlu dianggap sebagai antara pencapaian tertinggi Najib dan Malaysia.

“Saya berpendapat, tidak ramai pemimpin Islam berjaya mencapainya… bukan mudah mempertemukan dua pihak yang sedang bersengketa untuk berdamai. Pencapaian ini patut dilihat sebagai sumbangan beliau kepada keamanan dan kestabilan serantau,” kata Wahabuddin, yang juga Timbalan Dekan Bahagian Sains Kemanusiaan, Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM.

Beliau berkata dengan kejayaan beliau mengemudi rundingan damai hingga mencapai tahap ini, Najib juga mempamerkan kepada dunia bahawa Islam adalah agama perdamaian.

“Malaysia boleh menggunakan pengalaman ini untuk menerajui usaha damai di wilayah lain dunia seperti di selatan Thailand dan malah, di Timur Tengah,” katanya. 



 

 

Sementara itu, presiden International Movement for a Just World Dr Chandra Muzaffar berkata rakyat Malaysia perlu berbangga dengan peranan yang dimainkan negara ini, Najib dan perdana menteri sebelum beliau dalam proses damai di wilayah berkenaan.

“Ini sudah pasti akan memperkukuhkan peranan Malaysia sebagai pendamai dan pengusaha keamanan di arena antarabangsa kerana kejayaan kita mengatur rundingan berkenaan sejak sekian lama…Malaysia juga boleh menggalakkan pelbagai pihak di selatan Thailand supaya mencari penyelesaian bagi konflik yang wujud di sana,” katanya.

Beliau berkata sejak awal lagi, kerajaan Malaysia terlibat secara berterusan dalam rundingan damai tersebut dan perdana menteri amat ingin melihat satu penyelesaian bermakna dicapai bagi konflik berkenaan.

“Ini juga sejajar dengan seruan beliau ke arah kesederhanaan serta keadilan dan semua pihak yang terlibat dalam sengketa ini perlu menyambut baik perjanjian berkenaan dan bekerja keras demi kesejahteraan rakyat,” kata beliau.

Pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu 2010, Najib menyeru golongan sederhana daripada semua agama supaya memperjuang agenda keamanan dan pragmatisme serta mengetepikan puak pelampau.

Najib akan menyaksikan upacara menandatangani Perjanjian Rangka Kerja berkenaan bersama Presiden Filipina Benigno S.Aquino III di Istana Malacanang di sini, hari ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Prof Ekmeleddin Ihsanoglu juga dijadual menghadiri upacara itu.

Pengumuman tentang perjanjian damai itu dibuat serentak di Manila dan Kuala Lumpur pada 7 Okt selepas berakhirnya rundingan tinjauan pusingan ke-32 antara kedua-dua pihak di Kuala Lumpur minggu lepas.

Ketika mengalu-alukan persetujuan yang dicapai itu, Najib antara lain berkata beliau amat gembira kerana melalui perjanjian bersejarah ini, hak, maruah dan kemakmuran Bangsamoro pada masa depan akan dilindungi, manakala kedaulatan dan Perlembagaan Filipina juga akan terpelihara.

Pemberontakan yang didalangi puak pemisah di Mindanao telah meragut lebih 150,000 nyawa sejak 1970-an dan mengakibatkan beribu-ribu orang terusir dari kampung halaman masing-masing.

Perjumpaan antara Imelda Marcos, isteri bekas presiden Filipina Ferdinand Marcos dan Kolonel Gaddafi dari Libya merintis jalan kepada termeterainya Perjanjian Tripoli pada 23 Dis 1976, yang memberi autonomi kepada 13 wilayah serta sembilan bandar di selatan Filipina.

MILF adalah serpihan daripada Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNFL). Kedua-dua pertubuhan ini menandatangani perjanjian damai dengan Manila.

Pada Disember 2009, rundingan damai antara MILF dan Manila disambung di Malaysia setelah 16 bulan mengalami kebuntuan.

Masyarakat antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Amerika menyambut baik perkembangan terbaru mengenai proses damai itu.

Manila pula berharap dapat menggunakan pencapaian terbaru ini untuk menyelesaikan satu lagi masalah – pemberontakan komunis di Filipina. (Bernama)

No comments:

Post a Comment