Sunday 14 October 2012

NAJIB AKAN KUNJUNG ISTANA TUN MUSTAPHA





KUDAT : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kini dalam rangka lawatan dua hari ke Sabah, akan melawat kediaman Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun, yang digelar Bapa Kemerdekaan dan Bapa Pembangunan Sabah, Ahad.

Perdana Menteri dijadual berkunjung ke kediaman Allahyarham, yang dinamakan 'Istana Tun Mustapha' pada sebelah tengah Hari selepas menyempurnakan majlis perasmian Program Jelajah Janji Ditepati di Kompleks Sukan Kudat.

Antara yang dijangka menyambut ketibaan Najib ialah anak Allahyarham iaitu Datuk Amir Kahar, yang merupakan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah semasa pemerintahan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Banggi.

Lawatan Perdana Menteri itu merupakan satu pengiktirafan kepada Allahyarham, seorang negarawan dan pahlawan yang banyak berjasa kepada negara serta rakyat Sabah.

Tun Datu Mustapha merupakan Yang Dipertua Negeri Sabah pertama selepas pembentukan Malaysia pada 16 Sept 1963, dan Ketua Menteri Sabah ketiga (1967 hingga 1975) selepas Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) memenangi pilihan raya pada tahun 1967.

Allahyarham dilahirkan di Kampung Limau-Limauan, Kudat dan ketika Perang Dunia Kedua, beliau antara pemimpin Sabah yang dikehendaki tentera Jepun kerana keberaniannya menentang penjajah itu.

Beliau merupakan pengasas kepada USNO, satu daripada parti yang berperanan penting dalam rundingan kemerdekaan Sabah daripada British, seterusnya pembentukan Malaysia pada 1963.

Pada tahun 1990, Tun Datu Mustapha menjadi Ketua Perhubungan Umno yang pertama selepas parti itu melebarkan sayapnya ke Sabah ketika situasi politik di negeri ini tidak stabil. (Bernama)

No comments:

Post a Comment