Sunday 14 October 2012

NAJIB HADIRI PERJANJIAN DAMAI FILIPINA-MILF






Oleh :    R RAVICHANDRAN

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Manila hari ini untuk lawatan rasmi tiga hari, antara lain, bagi menyaksikan majlis menandatangani Rangka Kerja Perjanjian Damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), esok.

Pesawat yang membawa Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor mendarat di Pangkalan Udara Villamor di sini pada pukul 4.10 petang tadi.

Mereka disambut oleh Menteri Luar Datuk Seri Hanifah Aman, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Luar Filipina, Albert F. Del Rosario, Duta Filipina ke Malaysia, J.Eduardo Malaya dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Filipina, Zakaria Nasir.

Esok, Perdana Menteri mempunyai jadual ketat, bermula dengan upacara meletakkan kalungan bunga di Tuju Rizal di Taman Luneta diikuti sambutan rasmi di perkarangan Istana Malacanang.

Selepas menandatangani buku tetamu di Dewan Sambutan Tetamu istana berkenaan, Najib akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Benigno S.Aquino III di Dewan Presiden.

Selepas pertemuan itu, Perdana Menteri akan mengetuai delegasi Malaysia dalam mesyuarat dua hala bagi mempertingkatkan hubungan Malaysia dan Filipina sebelum Najib dan Aquino III mengeluarkan kenyataan bersama.

Mesyuarat itu akan disertai Anifah, Ahmad Zahid dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad.

Selepas menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan oleh Aquino III, kedua-dua pemimpin itu ke Dewan Rizal untuk menyaksikan upacara menandatangi perjanjian damai bersejarah antara kerajaan Filipina dan MILF.

Kedua-dua ketua kerajaan itu akan menyampaikan ucapan pada majlis itu yang turut disertai Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Prof Ekmeleddin Ihsanoglu.

Pengerusi MILF Murad Ebrahim turut dijangka mengeluarkan kenyataan pada majlis bersejarah itu yang bakal melihat kedamaian berkekalan di wilayah selatan Filipina yang bergolak dengan konflik lebih 40 tahun itu.

Malaysia menjadi pengantara perundingan damai antara kerajaan Filipina dan MILF sejak 2001 sehingga perjanjian awal untuk perdamaian dicapai di Kuala Lumpur dalam rundingan dari 2 hingga 7 Okt lepas.

Perjanjian rangka tindakan perdamaian itu bakal menyaksikan penubuhan Suruhanjaya Peralihan bagi menggubal draf undang-undang pembentukan wilayah baru Bangsamoro bagi menggantikan wilayah autonomi Islam Mindanao.

Najib juga akan dijadual menghadiri dialog dengan ahli-ahli perniagaan dari Majlis Perniagaan Filipina-Malaysia di sebuah hotel di Manila esok.

Sementara itu, Rosmah akan mengikuti jadual berasingan dengan menyampaikan ucapan di Institut Pengurusan Asia (AIM) di Makati, di sini, yang akan turut dihadiri oleh adik perempuan presiden Kris Aquino dan presiden AIM, Dr Stevan J DeKrey.

Rosmah, yang juga anggota Kelab AIM Alumni Malaysia, akan turut melawat kampus AIM.

Pada sebelah malam pula, Najib dan Rosmah akan menghadiri Majlis Mesra Bersama Rakyat Malaysia di sebuah hotel di sini, yang dijangka dihadiri kira-kira 150 orang terdiri daripada pelajar, ahli perniagaan dan ahli keluarga masing-masing.

Perdana Menteri dan isteri akan berlepas pulang ke tanah air pada pagi Selasa. (Bernama)

No comments:

Post a Comment