Sunday 14 October 2012

NAJIB LEPASKAN CLIMBATHON KINABALU KE-26





LEPAS..... Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan 294 peserta kategori lelaki dan wanita veteran sempena perlumbaan Climbaton Antarabangsa Gunung Kinabalu Ke-26 di Taman Kinabalu di sini hari ini.

KUNDASANG : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melepaskan peserta perlumbaan Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu ke-26 di Taman Negara Kinabalu di sini.

Beliau, yang diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Masidi Manjun, melepaskan 369 peserta bagi kategori lelaki dan wanita terbuka tepat pukul 7 pagi.

Lima minit kemudian, beliau melepaskan 294 peserta kategori lelaki dan wanita veteran.

Insiden mencuit hati berlaku apabila seorang peserta lelaki veteran sempat bersalaman dengan Perdana Menteri sejurus selepas beliau melepaskan acara tersebut.

Ketika ditemui Bernama, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Ellron Alfred Angin berkata kesudian Najib melepaskan peserta Climbathon dapat mempromosikan lagi Gunung Kinabalu sebagai destinasi pelancongan.

Beliau berkata lebih ramai peserta dijangka menyertai acara larian itu pada tahun depan memandangkan laluan Climbathon ditukar mulai tahun ini untuk memberi peluang pelari menikmati keindahan alam sekitar di sekeliling Gunung Kinabalu.

"Sekarang, paling tinggi laluan di Layang-Layang iaitu pada ketinggian kira-kira 2,670m," katanya.

Beliau berkata suhu di Layang-Layang pada pagi ini ialah kira-kira 15 darjah Celsius dan semua peserta perlu mengambil masa dua jam untuk sampai ke tahap itu.

Terdahulu, Musa menyampaikan cenderamata berbentuk buku bertajuk 'The Summit of Kinabalu' kepada Perdana Menteri.

Najib kemudian mengadakan tinjauan mesra di pekan Kundasang sebelum mengakhiri lawatan dua harinya di Kudat. (Bernama)

No comments:

Post a Comment